44 dikompaun merokok di premis makanan

Antara individu yang dikompaun kerana merokok di premis makanan.
Antara individu yang dikompaun kerana merokok di premis makanan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 44 notis kesalahan membabitkan nilai kompaun RM11,000 dikeluarkan kepada individu yang dikesan merokok di premis makanan dalam operasi bersepadu di sekitar ibu kota pada Isnin.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, sebanyak 262 premis makanan di sekitar Bukit Bintang, Bangsar dan Jalan Alor di sini diperiksa dalam operasi yang bermula pada jam 8 malam.

"Dalam operasi itu, seramai 44 pelanggan menerima notis kesalahan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

"Sebanyak lapan notis membabitkan nilai kompaun RM4,000 dikeluarkan kepada pemilik premis mengikut Peraturan 12 PPKHT 2004 kerana tidak mempamerkan tanda larangan merokok," katanya pada sidang media di Bukit Bintang di sini pada Isnin.

Norhayati berkata, operasi itu dilakukan KKM bersama Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

"KKM serius menangani masalah merokok dan akta baharu yang sedang digubal akan dibentangkan tidak lama lagi.

"Akta baharu itu turut melarang generasi lahir pada 1 Januari 2005 dan seterusnya, memiliki serta membeli sebarang produk merokok," katanya.

Katanya, penguatkuasaan kepada pematuhan larangan merokok di tempat makan akan dijalankan secara berterusan.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengingatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan ditetapkan dan sebarang aduan berkaitan merokok di tempat awam boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 010-8608949.

"Bagi golongan perokok yang ingin berhenti merokok boleh melayari laman sesawang: www.jomquit.com," katanya.

Pada 1 Januari 2019, kerajaan menguatkuasakan larangan merokok di kedai makan dan restoran terbuka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!