Kisah beg sekolah murid yang berat
SINAR Harian telah membuat laporan komprehensif dan terperinci berhubung isu beg sekolah berat baru-baru ini.
Laporan itu tercetus berdasarkan sebuah video yang tular menunjukkan seorang murid perempuan di sebuah sekolah rendah hampir terjatuh ketika menaiki tangga ke tingkat atas akibat membawa beg yang berat.
Difahamkan, video tersebut dirakamkan oleh ibu murid itu sendiri yang melihat kejadian itu dengan tujuan agar isu berkenaan mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Selepas dua bulan isu itu dibangkitkan, akhirnya Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin memberi jaminan menyelesaikan masalah tersebut.
Untuk itu, kita amat berterima kasih dan memberikan penghargaan kepada Radzi yang cakna dengan masalah tersebut.
Isu beg sekolah berat sebenarnya telah berlanjutan sejak sekian lama.
Ia datang dan pergi bersama menteri yang bertanggungjawab terhadap pendidikan negara.
Jadi, sebelum tampuk pemerintahan negara bertukar, eloklah usaha bagi meringankan beban yang terpaksa digalas murid-murid dapat diselesaikan secepat mungkin.
Bagaimanapun, Sinar Harian mahu menarik perhatian kepada menteri dan pihak berkenaan mengenai satu dakwaan berhubung isu beg berat.
Ada pihak mengatakan murid terpaksa membawa lebih banyak buku latihan dan rujukan yang diminta oleh guru.
Katanya, buku tersebut bukan buku yang diwajibkan kementerian, sebaliknya ia adalah buku-buku latihan yang boleh didapati di kedai buku.
Mungkin guru yang meminta murid mereka untuk membeli buku tersebut mempunyai niat baik, namun ada kebimbangan pembelian buku itu seolah-olah ada niat tersembunyi.
Harap dakwaan berkenaan tidak betul.
Tetapi wajar juga untuk kementerian menyiasat dan meneliti tentang perkara tersebut bagi mengesahkan ia hanyalah sekadar dakwaan palsu.
Pada masa sama, elok juga kementerian kaji semula silibus sekolah rendah yang dikatakan semakin mengarut dan tidak masuk akal, susulan tular di media sosial yang mengatakan pelajar Tahun Enam perlu belajar mengenai insurans dan takaful bagi subjek Matematik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!