Buruan lapan tali pinggang Superfight
SEBANYAK 34 petinju akan berentap bagi merebut lapan tali pinggang Superfight pada Kejohanan Kuda Merah Muay Thai Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur dari 25 hingga 27 Februari ini.
Pengerusi teknikal kejohanan, Rosli Yaacob berkata, edisi ke-62 itu akan disertai petinju tempatan yang terdiri daripada 80 peratus peserta Lembah Klang manakala selebihnya dari Kelantan, Pahang Kedah dan Melaka.
“Sebanyak lapan tali pinggang akan dipertaruhkan pada kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu. Untuk edisi kali ini, tiada petinju daripada negara luar akan terlibat.
“Diharapkan peserta tempatan yang menyertai kejohanan dapat membuat sehabis baik, sekali gus mengharumkan kelab atau pasukan yang diwakili,” katanya.
Antara tali pinggang yang bakal dipertaruhkan pada kejohanan kali ini termasuklah tali pinggang Menteri Wilayah, tali pinggang Sinar Harian, tali pinggang Majlis Sukan Wilayah dan tali pinggang Datuk Bandar.
Dalam pada itu, Rosli berkata, bagi edisi kali ini, pihaknya menghantar empat atlet dan kesemua mereka kini sedang melakukan persiapan penuh bagi merebut tali pinggang yang akan dipertandingkan.
“Sejak beberapa minggu lalu, kesemua petinju sedang melakukan persiapan hebat bagi merebut tali pinggang yang akan dipertandingkan. Jadi saya harap petinju Kuda Merah tidak memandang remeh lawan mereka,” ujarnya yang juga Presiden Muay Thai Kuda Merah.
Sementara itu, petinju baharu Muay Thai Kuda Merah, Konstabel Rais Junaidi berkata, dia akan cuba melakukan terbaik bagi membawa kejuaraan pada edisi kali ini.
“Saya sedang berlatih bersungguh-sungguh bagi merealisasikan impian untuk menghadiahkan tali pinggang buat kelab Muay Thai Kuda Merah.
“Sebagai muka baharu mewakili kelab ternama dalam polis, saya memikul tanggungjawab yang besar membawa panji PDRM pada kejohanan kali ini,” jelasnya.
Orang ramai terutama peminat sukan Muay Thai dijemput hadir menyaksikan kejohanan tersebut dan boleh mendapatkan tiket menerusi laman Facebook Muay Thai Kuda Merah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!