Isu beg sekolah berat, sampai bila?

Isu beg sekolah berat bagi murid sekolah rendah bukanlah perkara baharu, malah dianggap sebagai 'never ending story'. Foto 123RF
Isu beg sekolah berat bagi murid sekolah rendah bukanlah perkara baharu, malah dianggap sebagai 'never ending story'. Foto 123RF
A
A
A

ISU beg sekolah berat bagi murid sekolah rendah bukanlah perkara baharu, malah dianggap sebagai 'never ending story'.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) khususnya turut digesa untuk memberi perhatian terhadap keluhan ibu bapa yang kasihan melihat anak-anak mereka seperti membawa 'sekampit beras' ke sekolah.

Tidak kurang juga ada yang mendakwa kerana rutin menggalas beg sekolah berat menjadi antara punca anak mereka menghadapi masalah tulang belakang bengkok.

Namun KPM telah berjanji penyelesaian kepada beberapa punca isu beg sekolah berat sedang ditangani pihaknya.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dilaporkan berkata, antara diberi perhatian adalah jumlah mata pelajaran yang diajar terlalu banyak pada setiap hari.

"Untuk sekolah rendah adakalanya sehingga tujuh mata pelajaran sehari namun bagi sekolah yang mengajar tiga atau empat mata pelajaran sehari, kita dapat lihat bahawa berat beg lebih ringan," katanya.

Selain permasalahan buku yang banyak perlu dibawa ke sekolah, KPM juga turut mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membenarkan murid-murid menggunakan pakaian sekolah kebangsaan ke sekolah agama.

Dalam hal ini jelas menunjukkan KPM tidak 'berpeluk tubuh' dan membiarkan keluhan golongan ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

Jangan pula ada ibu bapa yang mendakwa keluhan mereka seperti tidak didengari kerajaan, cuma mungkin penyelesaian terhadap isu ini masih belum proaktif.

Memandangkan KPM masih diperingkat mengadakan kajian terperinci bagi menyelesaikan isu beg sekolah berat, diharap masyarakat terutamanya ibu bapa turut memainkan peranan masing-masing dengan memantau isi kandungan beg sekolah anak-anak sebelum ke sekolah.

Hal ini bagi memastikan anak-anak hanya membawa buku mata pelajaran yang berkaitan pada hari-hari tertentu selain tidak membawa barangan lain ke sekolah.

Dalam hal berkaitan, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berpandangan, sistem pendidikan sedia ada perlu dirombak dan digantikan dengan model pendidikan baharu bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.

Beliau berkata, model pendidikan baharu merupakan 'game changer' yang menyediakan satu sistem pembelajaran berbeza dengan apa yang ada pada hari ini serta tidak konvensional.

"Kita akan pergi kepada pendidikan modular era baharu dan pendidikan yang mana anak-anak tidak perlu menggalas beban beg berat lagi.

"Ini adalah solusi kepada isu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan beg berat," ujarnya.

Justeru diharap KPM dapat mencari penyelesaian yang terbaik bagi menangani isu ini kerana di zaman serba canggih dengan pelbagai teknologi terkini, mungkin selepas ini murid hanya berlenggang sahaja ke sekolah, terapkan kaedah 'bookless'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!