18 juta unit ujian kendiri RTK ada di pasaran
PUTRAJAYA - Sebanyak 18 juta unit kit ujian pantas (RTK) Antigen Covid-19 tersedia di pasaran.
Ia berdasarkan statistik penguatkuasaan dan pemantauan yang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
KPDNHEP dalam kenyataannya memaklumkan, lapan pengilang yang mendapat kebenaran bersyarat menghasilkan RTK di Malaysia telah mengeluarkan 4.306 juta unit sehingga Februari.
Manakala, negara telah mengimport 2.34 juta unit RTK dari tujuh buah negara.
"Jumlah keberadaan RTK tambahan di pasaran sehingga hujung Februari adalah 6.647 juta unit," katanya pada Selasa.
Ujar kementerian itu, aduan berhubung kekurangan bekalan RTK menunjukkan peratus yang sangat rendah.
"Pada tahun ini bermula 1 Januari sehingga 21 Februari hanya tiga aduan sahaja diterima oleh kementerian berhubung kekurangan bekalan kit ujian ini," katanya.
"Julat harga RTK di pasaran adalah antara RM4.90 hingga RM19.90 pada ketika ini namun 80 peratus RTK dijual di bawah RM10 seunit," katanya.
Justeru, peniaga diberi amaran agar terus mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan penjualan RTK ini bagi mengelakkan tindakan tegas di ambil KPDNHEP.
"Peniaga yang dikesan melakukan kesalahan berhubung perkara ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan," katanya.
Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga berhubung bekalan dan harga RTK boleh mengemukakan aduan lengkap beserta butiran lengkap melalui WhatsApp 019-279 4317.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!