JKM cari waris bayi perempuan ditinggalkan depan restoran
MELAKA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka mencari ibu kandung atau waris kepada seorang bayi perempuan yang dijumpai orang awam di hadapan sebuah restoran di Taman Mutiara, Batu Berendam di sini, pada 4 Februari lalu.
Pelindung Kanak-kanak, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Melaka Tengah, Norhayati Ahmad berkata, bayi berusia hampir sebulan itu telah diselamatkan seperti mana peruntukan Seksyen 17(1)(e)(ii) Akta Kanak-kanak 2001.
Menurutnya, bayi tersebut diperintahkan diletakkan pada orang yang layak dan sesuai dan pihaknya menerima Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001 untuk melakukan siaran akhbar.
"JKM ingin mengesan waris kepada bayi itu bagi tujuan siasatan serta tindakan lanjut.
"Waris atau orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenainya boleh menghubungi Unit Kanak-kanak JKM Melala Tengah di talian 06-333 3333," katanya.
Sinar Harian pada 4 Februari lalu melaporkan suara tangisan depan sebuah restoran berjaya menyelamatkan nyawa seorang bayi perempuan yang dipercayai baharu dilahirkan di Taman Mutiara, Batu Berendam.
Dalam kejadian jam 7 pagi, bayi yang masih bertali pusat dan berdarah itu ditemui dalam bakul pakaian berwarna krim dengan beralaskan kain batik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!