MIC Kulai hasrat rebut kerusi DUN Bukit Batu
KULAI - MIC berhasrat meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Ahli Majlis Tertinggi MIC Kebangsaan, S Suppayah berkata, keputusan itu dibuat MIC Bahagian Kulai selepas mesyuarat dua hari lalu dan antara faktornya terdapat 17,000 pengundi India di Parlimen Kulai.
Beliau yang juga Ketua MIC Bahagian Kulai berkata, pihaknya sedar cabaran yang bakal dilalui dalam merebut kerusi tersebut tetapi sedia menggalas tanggungjawab itu.
"MIC Kulai menyasar 80 peratus pengundi memilih Barisan Nasional (BN). Sasaran ini berasas kerana 56 peratus jumlah undi masyarakat India diperoleh BN pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14) walaupun berlakunya tsunami politik dengan fitnah-fitnah yang dilontar kepada BN.
"Pengundi India di DUN Bukit Permai dan DUN Senai adalah seramai 5,216 (13.26 peratus) dan 7,996 (12.64 peratus) masing-masing.
"Dengan jumlah pengundi India seramai 3,790 pengundi (8.25 peratus), MIC yakin akan memenangi kerusi DUN Bukit Batu dengan kerjasama parti komponen BN," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada PRU14, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang di DUN Bukit Batu dengan majoriti 10,057 undi menewaskan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) yang ketika itu bertanding atas tiket BN.
Mengulas lanjut, Suppayah berkata, tuntutan MIC di kerusi DUN Bukit Batu itu berikutan terdapat kekosongan kerana sebelum ini ditandingi Gerakan sebelum parti itu keluar BN.
Katanya, selain itu kerusi DUN Bukit Permai dan DUN Senai bakal ditandingi UMNO dan MCA, jadi apabila kerusi DUN Bukit Batu diberikan kepada MIC akan menunjukkan semangat dan aspirasi Keluarga Malaysia.
"MIC yakin akan memenangi DUN Bukit Batu dan dengan kerjasama parti Komponen BN. MIC juga mempunyai hubungan baik dengan Ketua BN Kulai, Datuk Zainal Abidin yang amat makkum tentang tahap perkhidmatan MIC di Kulai, khususnya semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama akibat Covid-19.
"Walaupun kerusi DUN Bukit Batu dianggap DUN yang mencabar, MIC Kulai membuat tuntutan ini atas dasar tanggunjawab yang disempurnakan MIC Kulai membantu masyarakat setempat bersama BN Kulai dan Penyelaras DUN tersebut, Datuk Mohd Jafni Md Sukor," katanya.
Selepas kekalahan BN pada PRU14, beliau berkata, MIC Bahagian Kulai tidak berhenti memberi perkhidmatannya kepada masyrakat setempat walaupun menjadi pembangkang.
"Justeru kami berharap dan menyeru agar BN memberi peluang kepada MIC untuk bertanding di DUN Bukit Batu pada PRN Johor," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!