'Nak sumpah berapa kali, sumpahlah' - Muhyiddin
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berganjak dengan kenyataannya bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertemu dengannya selepas beberapa hari beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Tegasnya, apa yang disuarakannya adalah benar dan bukan permainan politik.
" Dia (Ahmad Zahid) nak bersumpah ke tidak, bagi saya, saya bercakap benar," katanya.
Menurutnya, beliau telah menyatakan saksi dalam pertemuan Ahmad Zahid itu.
"Nak cakap dengan rakyat, jangan berbohong. Saya ada bukti malam itu dan sudah tunjuk saksinya... Tetapi kalau dia nak sumpah berapa kali sumpah, sumpahlah," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemulihan Negara (MPN) kali ketiga, dekat sini pada Selasa.
Beliau berkata, beliau tidak akan mengambil tindakan sama dengan Ahmad Zahid kerana tidak berbohong.
"Apa yang saya sebut itu adalah benar walaupun kadang kala yang benar itu adalah pahit," katanya.
Minggu lalu, Muhyiddin mendedahkan Ahmad Zahid datang berjumpa dengannya sewaktu beliau mengadakan perbincangan dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan membawa fail kes mahkamah.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menafikan dakwaan tersebut dengan mengatakan tidak pernah bertemu Muhyiddin sepanjang ahli Parlimen Pagoh itu menjadi Perdana Menteri atau membawa timbunan fail untuk meminta dilepaskan daripada tuduhan mahkamah.
Beliau juga bersedia melakukan sumpah laknat bagi menafikan tuduhan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!