Dos penggalak mampu lawan gelombang Omicron
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Keberkesanan dos vaksin penggalak dilihat mampu mengurangkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Malaysia yang dicetuskan oleh gelombang varian Omicron ketika ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data terkini dari empat minggu lepas iaitu dari 24 Januari hingga 21 Februari menunjukkan kumpulan individu tidak divaksin adalah yang paling berisiko dijangkiti Covid-19 yang serius terutama kategori empat dan lima bagi semua kumpulan umur.
"Perkara ini dibuktikan dengan kes Covid-19 per 100,000 populasi mengikut status vaksinasi meningkat kira-kira 10 hingga 80 kes direkodkan (kategori 3,4,5) bagi semua kumpulan umur
"Kumpulan individu yang menerima dos penggalak adalah paling terlindung apabila bawah 20 kes dilaporkan dan dilihat kurang kes jangkitan yang serius iaitu kategori tiga, empat dan lima dan juga kes kematian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Setakat ini sejumlah 14,078,456 atau 59.8 peratus dos penggalak diberikan kepada golongan individu dewasa dalam Program Imunisasi Covid-19 Dos Penggalak (PICK-B) sejak 1 Oktober 2021 hingga Isnin.
“Penggunaan katil ICU di Johor pada 70 peratus dikuti Kelantan (61 peratus), Kuala Lumpur (58 peratus), dan Melaka (54 peratus),” katanya.
"Selain itu sejumlah 25,099 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif kepada 3,246,779 dan daripada jumlah kes baharu itu, 25,014 kes tempatan dan 85 kes import,” katanya.
Beliau berkata, sejumlah 100 daripada kes baharu adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 24,499 terdiri daripada kategori satu dan dua.
"Bagi kes sembuh pula sebanyak 17,749 kes dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif sembuh di negara ini adalah 2,955,404," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!