Calon PSM berjanji tiada politik perkauman
ISKANDAR PUTERI - Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), R Arangkannal, 46, berjanji tidak akan membawa sentimen politik perkauman sama ada ketika bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mahupun setelah dipilih sebagai wakil rakyat.
Arangkannal yang juga merupakan seorang penggiat seni berkata, perkara itu adalah matlamat dirinya untuk menampilkan PSM sebagai parti yang tidak menggunakan rasisme sebagai senjata utama.
Beliau yang mesra dengan panggilan Ara itu berkata, PSM berserta aktivis mereka akan terus berjuang untuk memastikan tiada tempat untuk diskriminasi kaum di negara dan negeri ini.
"Walaupun kita berbilang kaum tetapi semua adalah rakyat Malaysia dan PSM bukan sebuah parti berasaskan kaum, sebaliknya ia adalah parti yang memperjuangkan kesamarataan antara kaum.
"Saya juga berjanji untuk menentang isu-isu diskriminasi perkauman di negara ini, termasuklah perkauman terhadap golongan imigran," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon PSM di Bilik Gerakan PSM N49 Kota Iskandar di sini, pada Isnin.
Pada majlis itu, Arangkannal diperkenalkan sebagai calon tunggal PSM yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar.
Sebaik diperkenalkan, Arangkannal juga secara terbuka mengisytiharkan harta miliknya yang bernilai kira-kira RM500,500 melibatkan sebuah rumah, sebuah kereta, sebuah motosikal berserta akaun bank dengan simpanan kira-kira RM2,000.
Dalam pada itu, Arangkannal yang merupakan graduan Universiti Sains Malaysia (USM) memberitahu, walaupun merupakan calon solo dan juga kali pertama PSM bertanding di Johor, ia tidak memberikan sebarang tekanan.
Beliau berkata, perkara itu berikutan parti berkenaan telah melakukan gerak kerja dan sentiasa aktif dalam tugas-tugas aktivis di kawasan berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu.
"Tujuan menyertai PRN Johor ini adalah untuk membawa suara golongan marhaen termasuklah pekerja ladang, pekerja kontrak dan pekerja-pekerja bawahan yang selalu dipinggirkan.
“Kita mahu satu situasi politik yang segar, dan suara kuat bersama rakyat-rakyat bawahan ini. Saya merasa rapat dengan golongan ini kerana berasal daripada mereka, jadi kami PSM mahu menjadi kuasa ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!