JPN Melaka rai pasangan 22 Februari 2022

Norazle (kiri) dan Kalsom (tiga dari kanan) bersama meraikan salah satu pasangan yang mendaftarkan perkahwinan pada 22 Februari.
Norazle (kiri) dan Kalsom (tiga dari kanan) bersama meraikan salah satu pasangan yang mendaftarkan perkahwinan pada 22 Februari.
A
A
A

MELAKA - Sepuluh pasangan di negeri ini mengabadikan tarikh unik 22 Februari 2022 sebagai kenangan sepanjang hayat dengan mendaftar perkahwinan di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Melaka, di Ayer Keroh, pada Selasa.

Pengarah JPN negeri, Norazle Sulaiman berkata, bertepatan dengan tarikh istimewa itu pihaknya terpanggil untuk meraikan pasangan berkenaan.

Menurutnya, ia kali keempat diadakan majlis pendaftaran perkahwinan istimewa mengikut tarikh iaitu pada 12 Disember 2012 (12.12.12), 20 Februari 2020 (20.02.20) dan 21 Disember 2021 (21.12.21) lalu.

"Sebenarnya hari mendaftar perkahwinan hanya pada Khamis dan Jumaat, di tiga Pejabat JPN Melaka termasuk di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

"Namun bagi tarikh-tarikh tertentu dan istimewa seperti ini, selain ada keperluan mendesak menyegerakan pendaftaran perkahwinan, kita akan buka untuk pendaftaran perkahwinan kepada pasangan yang ingin berkahwin," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

Hadir sama, Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Kalsom Nordin.

Jelas beliau, sebanyak 1,121 perkahwinan telah didaftarkan pada tahun lalu dan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini sebanyak 173 pasangan telah mendaftar perkahwinan mereka.

Artikel Berkaitan:

Heng Guan Sen (dua kiri) ketika mendaftarkan perkahwinannya di JPN Melaka, di Ayer Keroh pada Selasa.
Heng Guan Sen (dua kiri) ketika mendaftarkan perkahwinannya di JPN Melaka, di Ayer Keroh pada Selasa.

"Biarpun pandemik Covid-19 melanda, namun jumlah pendaftaran perkahwinan di negeri ini tidak terjejas dengan ketara kerana jumlahnya boleh dikatakan hampir sama setiap tahun.

"JPN Melaka sentiasa mengatur secara tertib setiap proses pendaftaran perkahwinan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Desmond Heng Guan Sen, 32, dan pasangannya Er Jia Lin, 25, berkata, pemilihan tarikh istimewa 22.2.22 itu dibuat memandangkan nombor dua dianggap bertuah bagi masyarakat Cina.

Menurutnya, buka dirinya sahaja, malah individu lain pasti mengabadikan tarikh unik berkenaan untuk kenangan mereka.

"Kita percaya tarikh 22.2.22 itu boleh mengekalkan hubungan perkahwinan yang dibina.

"Kami berterima kasih kepada JPN yang membuka satu hari istimewa untuk mendaftar perkahwinan pada hari ini yang akan diingati dan dikenang sepanjang hayat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!