MoU pembantu rumah Indonesia akan dibentang di kabinet
JOHOR BAHRU - Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan kertas kerja memorandum persefahaman (MoU) berhubung pengambilan dan penempatan pembantu rumah warga Indonesia ke kabinet.
Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, antara isu yang disentuh dalam kertas kerja tersebut berkaitan gaji minimum, skop pekerjaan serta penggunaan sistem yang sah.
"Ketiga-tiga ini kita telah bersetuju dan saya akan bawa ke kabinet dan kalau kabinet bersetuju kita akan dipanjangkan kepada pihak Jakarta untuk menandatangani MOU tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Mencarum Usahawan Tekun di Hotel Renaissance, di sini, pada Selasa.
Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono sebelum ini dilaporkan berkata, negaranya memerlukan komitmen politik daripada Malaysia bahawa MoU berhubung pengambilan dan penempatan pembantu rumah warga republik itu dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya sebelum dimeterai.
Hermono berkata, pada masa ini Indonesia hilang kepercayaan terhadap komitmen itu kerana pihak utama yang akan menguatkuasakan MoU berkenaan iaitu Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) hanya terbabit dalam beberapa siri rundingan.
Katanya, wakil imigresen yang menyertai perundingan juga terdiri daripada pegawai bukan dalam kategori pembuat keputusan.
Hermono turut memberi gambaran MoU itu tidak akan dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat apabila menyatakannya memerlukan beberapa pusingan rundingan lagi.
Rundingan pengambilan dan kemasukan pembantu rumah warga Indonesia ke Malaysia yang dimulakan sejak 2017, masih gagal diselesaikan sehingga kini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!