Pemandu kastam didakwa lagi kes rasuah

Muhamad Azwan hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan kes rasuah kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan jabatan pada Selasa.
Muhamad Azwan hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan kes rasuah kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan jabatan pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu kenderaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang sebelum ini dituduh atas lapan kesalahan kes rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan sama.

Bagaimanapun, Muhamad Azwan Shah Abdullah, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan utama dan pilihan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai pemandu kenderaan yang bertugas di bahagian penguatkuasaan jabatan itu telah secara rasuah memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM500 daripada seorang lelaki berusia 36 tahun, melalui akaun bank milik tertuduh.

Ia sebagai dorongan bagi melakukan suatu perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh, iaitu membantu mendapatkan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan jabatan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Tun Razak, di sini, pada 6 Februari tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, dia didakwa atas kesalahan sama, membabitkan jumlah rasuah dan dorongan sama.

Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab dan Noryusriza Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam Nor Asyikin Zakaria.

Hakim Rozina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM Selangor.

Mahkamah turut membenarkan kes itu dibicarakan bersama dengan pertuduhan terdahulu di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Disebabkan tertuduh telah didakwa di pasportnya telah diserahkan kepada mahkamah tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Mac depan untuk sebutan semula kes dan ia akan didengar Shah Alam.

Pada 14 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas empat pertuduhan rasuah sebanyak nilai RM8,850 berhubung kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan jabatan itu, tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!