Irmohizam dilantik Presiden MGJA
PENGARAH Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Irmohizam Ibrahim dilantik sebagai Presiden Persatuan Golf Junior Malaysia (MGJA) yang pertama.
MGJA dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dicapai sebulat suara oleh perwakilan dalam Mesyuarat Agung MGJA yang pertama bagi sesi 2022-2025 pada Isnin.
MGJA yang ditubuhkan pada 14 Februari 2022 menekankan objektif penubuhannya antaranya mempromosi sukan golf kepada anak muda dan mencungkil serta mengasah bakat mereka hingga peringkat antarabangsa melalui kolaborasi latihan dengan institusi pengajian awam dan swasta.
Menurut MGJA, golongan muda harus melihat sukan golf sebagai satu cabaran yang boleh membawa mereka hingga tahap profesional, juga sebagai satu kerjaya profesional di Malaysia.
"Melalui platform latihan yang disediakan, didorong pula minat dan bakat, MGJA bakal memberikan peluang besar kepada golongan muda terutama di peringkat sekolah dan institusi pendidikan tinggi Malaysia dalam melebarkan ruang ekonomi baharu negara melalui sukan golf ini,” menurut kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!