Jangan cedera, aniaya haiwan ternakan berkeliaran: Polis

Polis menasihatkan pihak yang terkesan atau mengalami kerugian disebabkan haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran agar tidak mengambil tindakan sendiri dengan menembak, mencederakan atau menganiaya haiwan tersebut. - Gambar hiasan
Polis menasihatkan pihak yang terkesan atau mengalami kerugian disebabkan haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran agar tidak mengambil tindakan sendiri dengan menembak, mencederakan atau menganiaya haiwan tersebut. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Pihak yang terkesan atau mengalami kerugian disebabkan haiwan ternakan milik penternak yang dibiarkan berkeliaran ditegah mengambil tindakan sendiri dengan menembak, mencederakan atau menganiaya haiwan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, perbuatan itu merupakan satu kesalahan jenayah dan boleh diambil tindakan termasuk di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu khianat terhadap haiwan.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Mengambil tindakan sendiri tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya perbuatan itu hanya akan menjerat mereka kepada tindakan undang-undang.

"Sekiranya ada laporan, pihak polis akan melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku," katanya ketika ditemui selepas Program 'Community Policing' Hari Bertemu Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di Felda Lepar Hilir 2 di sini pada Selasa.

Wan Mohd Zahari berkata, perbuatan itu juga dikhuatiri boleh mencetus suasana tidak harmoni antara kedua-dua pihak dan masyarakat setempat amnya.

"Paling kita bimbang, perbuatan itu akan membawa kepada masalah lebih besar termasuk perkelahian yang mendatangkan kecederaan.

"Dalam perkara ini, kita juga bimbang berlaku penggunaan senjata api bagi tujuan menembak haiwan ternakan yang menceroboh kawasan atau untuk tindakan di luar kewajaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Mohd Zahari (depan tiga dari kanan) beramah mesra dengan penduduk Felda Lepar Hilir 2 pada Program Hari Bertemu Pelanggan IPD Kuantan di tanah rancangan Felda itu pada Selasa.
Wan Mohd Zahari (depan tiga dari kanan) beramah mesra dengan penduduk Felda Lepar Hilir 2 pada Program Hari Bertemu Pelanggan IPD Kuantan di tanah rancangan Felda itu pada Selasa.

Beliau berkata, sebaiknya adu kepada pemilik haiwan itu maklumkan perkara yang berlaku dan sekiranya ia berterusan laporkan kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya.

"Pemilik haiwan juga perlu lebih bertanggungjawab terhadap haiwan ternakan masing-masing dengan tidak membiarkannya berkeliaran masuk ke kebun dan merosakkan tanaman penduduk lain.

"Masalah ini berlaku di mana-mana termasuk dalam kawasan Felda, justeru ia perlu diselesaikan dengan peranan semua pihak baik penduduk, penternak, pihak pengurusan dan agensi-agensi kerajaan terlibat,"katanya.

Sementara itu katanya, isu kecurian hasil kelapa sawit boleh ditangani melalui peranan bersama antara polis, polis bantuan Felda, pihak pengurusan dan peneroka sendiri.

Beliau berkata, terdapat kes seumpama itu berlaku di daerah ini dan telah ada tangkapan dilakukan, namun keadaan masih terkawal.

"Kebelakangan ini kelapa sawit menjadi sasaran pencuri kerana harganya yang tinggi.

"Sekiranya berlaku kes kecurian kelapa sawit, segera laporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Tambah beliau, polis bantuan boleh menggunakan kuasa yang ada untuk memantau, melakukan rondaan dan menangkap pihak yang disyaki terlibat untuk diserahkan kepada pihak polis.

Menyentuh mengenai Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan, Wan Mohd Zahari berkata, program itu diadakan untuk mengeratkan hubungan antara polis dan komuniti setempat.

Menurutnya, ia juga sebagai platform dalam mengenal pasti isu dan permasalahan menjurus kepada salah laku jenayah, dadah dan masalah sosial di kawasan tersebut.

"Mana-mana tempat termasuk kawasan Felda tidak terlepas dengan salah laku jenayah dan isu sosial, justeru masyarakat perlu bersama polis dalam mengekangnya di kawasan masing-masing,"katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Pengurus Felda Lepar Hilir 2, Harizal Salleh dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohamad Rizal Kamarudin,

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!