Murid, pelajar sekolah ketagih internet

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Murid dan pelajar sekolah di negara ini didapati mengalami ketagihan internet yang tinggi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Tan Sri Annuar Musa berkata, penemuan memeranjatkan itu diperoleh hasil dapatan Kajian Tanda Aras Tahap Kesedaran Keselamatan Siber Dalam Kalangan Murid Sekolah dan Ibu Bapa 2021/2022.

"Kadar ketagihan internet di negara kita adalah tinggi berbanding negara lain," katanya dalam ucapan Sambutan Hari Internet 2022 Edisi Malaysia, di sini pada Selasa.

Menurutnya, dapatan kajian tersebut mendapati ketagihan internet, kurang kesedaran mengenai kewarganegaraan digital serta kawalan ibu bapa yang kurang efektif telah menyebabkan peningkatan risiko keselamatan siber terhadap generasi muda.

"Selain itu, terdapat beberapa komponen utama yang perlu diberi penekanan, antaranya ialah akses kepada kandungan internet yang tidak sesuai, risiko transaksi dalam talian, kurang kefasihan digital, kelemahan dalam pengurusan kata laluan, ancaman dari orang yang tidak dikenali, serangan pancingan data serta privasi dalam talian," katanya.

Beliau berkata, kesedaran terhadap komponen tersebut perlu dipertingkatkan untuk membina daya tahan generasi muda terhadap ancaman dan serangan siber.

"Ini penting agar mereka mampu bertahan sewaktu mengalami insiden-insiden tersebut, pulih segera dan kembali kepada keadaan asal serta mengambil pengajaran dari ancaman dan serangan siber yang dialami," katanya.

Annuar berkata, psikologi generasi muda yang stabil adalah sangat penting untuk proses perkembangan fizikal dan mental yang sihat.

Artikel Berkaitan:

"Kajian juga mendapati bahawa penumpuan generasi muda terhadap aktiviti pembelajaran dalam talian turut meningkat selaras dengan perkembangan pandemik Covid-19 yang berlaku sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini," katanya.

Ujarnya, institusi keluarga merupakan komponen penting dalam proses pembentukan komuniti dan negara kerana kesempurnaan sesebuah negara bergantung kepada institusi keluarga.

"Dalam institusi keluarga, ibu bapa memainkan peranan penting bagi membentuk sahsiah dan keperibadian ahli keluarga terutama sewaktu peringkat awal perkembangan anak-anak," katanya.

Berdasarkan laporan eksekutif dapatan kajian tersebut menunjukkan, murid berkeperluan khas yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di peringkat sekolah rendah lebih mengalami masalah ketagihan internet tahap tinggi iaitu lapan peratus berbanding enam peratus bagi murid arus perdana.

Bagaimanapun, murid arus perdana mempunyai ketagihan tahap sederhana yang lebih tinggi iaitu 34 peratus berbanding 17 peratus bagi murid PPKI.

Jumlah tersebut agak membimbangkan kerana sekiranya tiada intervensi daripada ibu bapa dan juga pihak sekolah, kumpulan ini berisiko untuk mengalami ketagihan tahap tinggi.

Bagi sekolah menengah pula, tahap tahap tinggi pelajar arus perdana adalah 16 peratus berbanding 12 peratus pelajar PPKI.

Ketagihan tahap sederhana pula menunjukkan 63 peratus pelajar arus perdana mengalaminya dan 44 peratus bagi pelajar PPKI.

Kajian itu dijalankan CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) Kementerian Pendidikan Malaysia yang diadakan bagi tempoh 16 November sehingga 3 Disember oleh para penyelidik akademik Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ia merupakan kajian komprehensif untuk mengenalpasti tahap kesedaran keselamatan siber secara menyeluruh, pola tingkah laku serta trend penggunaan teknologi, internet dan media sosial di kalangan generasi muda.

Kajian itu turut melihat tahap kesedaran serta kawalan ibu bapa atau terhadap penggunaan komputer dan internet oleh anak-anak.

Seramai 16,908 responden terdiri daripada 13,953 murid sekolah rendah dan menengah termasuk murid berkeperluan khas serta 2,955 ibu bapa di seluruh negara terlibat dalam kajian tersebut.

Sementara itu, pada sidang akhbar Annuar berkata, dapatan kajian tersebut merupakan ancaman sebenar yang dihadapi negara.

"Terdapat beberapa level ancaman siber sekuriti antaranya ancaman data dan rentas sempadan tetapi tidak kurang kebimbangan kita terhadap penggunaan internet yang selamat di dalam komuniti," katanya.

Menurutnya, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tidak memadai untuk menjamin keselamatan rakyat.

"Kita tidak mempunyai satu kaedah yang boleh menjamin keselamatan rakyat melainkan dapat membina ketahanan diri agar internet tidak disalahgunakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!