Pahang peruntuk RM5 juta untuk Pahang Pride Student
KUANTAN - Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM5 juta melalui program Pahang Pride Student sebagai persediaan sesi baharu persekolahan pada pertengahan Mac depan.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak berkata, peruntukan itu memanfaatkan hampir 238,000 murid dan pelajar di Pahang.
Menurutnya, pemberian itu melalui program Pahang Pride Student terbahagi kepada dua kategori bantuan.
"Kategori pertama membabitkan pemberian kad diskaun sebanyak 20 peratus kepada 150,000 ketua isi rumah golongan B40 dan M40 untuk membeli barangan kelengkapan sekolah seperti alat tulis dan pakai seragam.
"Kad diskaun tersebut boleh dipakai sepanjang tahun dan bukan hanya untuk kegunaan musim kembali sekolah. Pembelian boleh dilakukan di semua cawangan MBS Book and Stationaries.
"Menerusi kategori kedua, kerajaan Pahang akan memberikan wang RM100 kepada pelajar kategori miskin dan miskin tegar untuk pembelian barangan sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selepas melancarkan Pahang Pride Student di pekarangan MBS Bookstore di Jalan Tanah Putih di sini pada Selasa.
Mohd Soffi menjelaskan, pemberian bantuan Pahang Pride Student sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada ibu bapa terutama dalam persediaan untuk memulakan persekolahan anak-anak.
Tambahnya, kerajaan Pahang memahami situasi dialami oleh ibu bapa atau penjaga yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19.
Katanya, sebilangan besar antara mereka juga masih dibelenggu kerugian akibat bencana banjir baru-baru ini.
"Sebab itu kerajaan Pahang menyalurkan bantuan melalui program Pahang Pride Student ini bagi meringankan beban ibu bapa serta penjaga.
"Pelaksanaan program ini membuktikan kerajaan Pahang terus komited dalam memastikan agenda pembangunan pendidikan dan modal insan sentiasa menjadi keutamaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!