Sarawak sasar 1.2 juta pengunjung tahun ini

Bilangan pengunjung ke Sarawak sudah pun melonjak kira-kira lima kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lepas. - Foto 123RF
Bilangan pengunjung ke Sarawak sudah pun melonjak kira-kira lima kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lepas. - Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - Sarawak menyasarkan ketibaan seramai 1.2 juta pengunjung tahun ini yang dijangka menjana pendapatan sekitar RM3.2 bilion dalam bentuk resit pelancongan, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahannya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Selasa.

Katanya, bilangan pengunjung ke negeri ini sudah pun melonjak kira-kira lima kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lepas dan keadaan ini akan berlanjutan sekiranya pandemik Covid-19 semakin reda dalam tahun ini.

"Sebelum Covid-19, jumlah pengunjung mencecah 4.5 juta orang dan berilah satu atau dua tahun lagi bagi melonjak kembali ke angka itu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelancongan Sarawak di sini pada Selasa.

Menurutnya, persetujuan Malaysia dan Brunei untuk mewujudkan Laluan Perjalanan Bervaksin (VTL) baru-baru ini akan dapat menyumbang kepada peningkatan pengunjung ke Sarawak selepas sempadan kedua-dua negara itu ditutup sejak tahun lepas.

"Selain itu, kita turut menggalakkan ketibaan pelancong dari Singapura, dengan rakyat negara itu yang sudah membuat permohonan menyertai program Sarawak-Malaysia My Second Home, selain menyasarkan peningkatan pengunjung dari Semenanjung Malaysia,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!