Sidang DUN Selangor: ADUN mungkin perlu jalani ujian RTK setiap hari

Semua ADUN Selangor mungkin perlu menjalani ujian RTK-Antigen setiap hari sebelum hadir ke persidangan itu yang bermula pada 14 Mac depan.
Semua ADUN Selangor mungkin perlu menjalani ujian RTK-Antigen setiap hari sebelum hadir ke persidangan itu yang bermula pada 14 Mac depan.
A
A
A

SABAK BERNAM - Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor mungkin perlu menjalani ujian RTK-Antigen setiap hari sebelum hadir ke persidangan itu yang berlangsung selama dua minggu bermula pada 14 Mac depan.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim berkata, selain ADUN, pegawai dan petugas media juga diwajibkan untuk menjalani ujian RTK secara harian.

Bagaimanapun, langkah itu hanya akan dilakukan sekiranya kes penularan Covid-19 terus menunjukkan peningkatan.

"Jika keadaan terdesak (penularan semakin serius) mungkin kita tambah baik dari segi prosedur operasi standard (SOP) dengan mewajibkan semua ADUN, pegawai dan petugas media yang hadir ke sidang DUN melakukan ujian RTK pada setiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah kepada mangsa banjir di Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam pada Selasa.

Suee Lim berkata, SOP terbaharu pada masa ini hanya menetapkan semua yang hadir ke sidang DUN perlu melakukan ujian selang dua hari sepanjang dua minggu persidangan.

Suee Lim (dua kanan) melihat penyerahan Bantuan Pakaian Sekolah kepada mangsa banjir di Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam pada Selasa.
Suee Lim (dua kanan) melihat penyerahan Bantuan Pakaian Sekolah kepada mangsa banjir di Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam pada Selasa.

"Kepada mereka yang bergejala termasuk ADUN, kita tidak membenarkan mereka hadir untuk mencegah penularan wabak," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, Pejabat Speaker DUN Selangor sentiasa berkerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bagi memastikan perjalanan sidang DUN mengikut SOP ditetapkan.

Mengulas mengenai perjalanan sidang DUN, Suee Lim yang juga merupakan ADUN Sekinchan berkata, beberapa usul berbangkit akan diketengahkan pada persidangan kali ini.

"Kita akan habiskan komitmen (sidang DUN) selama dua minggu untuk membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan khususnya mengenai bantuan kepada mangsa banjir.

"Perbahasan meliputi rancangan mengatasi banjir dan tebatan banjir selain pengumuman bajet tambahan daripada kerajaan Selangor," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!