Terpaksa berbaris panjang nak ambil wang bantuan bencana
SHAH ALAM - Tular ratusan individu terpaksa berbaris panjang untuk mendapatkan wang bantuan bencana di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kota Kemuning di sini, pada Selasa.
Video pendek tular di media sosial Facebook itu mendapat pelbagai respons daripada pelayar yang kebanyakannya menyalahkan pihak pengurusan kerana tidak peka dengan keadaan.
Mereka berpendapat, penganjur perlu menggunakan kaedah lebih cepat dan selamat dengan memasukkan wang bantuan ke dalam akaun penerima berbanding meminta mereka hadir ke tempat awam.
"Sudah 2022 sistem (digunakan) masih kuno," kata Mahathir Ariffin disokong Andrew Lingoh yang turut menyifatkan cara digunakan pihak penganjur hanya untuk mendapatkan publisiti sahaja.
Remy Samri pula berkata, tidak perlu meminta penerima untuk datang secara beramai-ramai dan kemudiannya perlu beratur panjang kerana ada cara lain yang lebih mudah dan selamat.
"Benda boleh 'bank in' suruh datang ramai-ramai beratur, apalah agenda agaknya buat cara macam ini," catatnya di ruangan komen laman sosial berkenaan.
Sementara itu, Muhni Kasdan pula mempersoalkan jumlah wang bantuan yang diterima mangsa banjir bagi kawasan Sungai Kandis yang hanya menerima RM1,000 sahaja setakat Selasa.
"Rata-rata dapat RM2,000 tapi kenapa di Dewan MBSA Sungai Kandis hanya dapat RM1,000, lagi baki RM1,000 macam mana nak ambil dan di mana," soalnya.
Dalam pada itu, kesesakan yang serupa juga dilaporkan berlaku di Dewan Sri Kerayong di Kapar, apabila ratusan penerima terpaksa berpanas dalam barisan selama hampir dua jam.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Gerakan Masyarakat Prihatin SeMalaysia, Syed Hassan Kuthooh Syed Ahmed Kabder ketika menghubungi Sinar Harian pada Selasa.
"Saya pergi ke sana jam 2.30 dan sejam lebih duduk di situ sebelum ambil keputusan untuk balik rumah, sempat juga berjumpa beberapa kawasan dari Meru turut mengadu perkara sama.
"Saya tak sanggup sebab itu saya balik rumah malah saya juga amat kecewa kerana kerajaan masih menggunakan cara lama dan tidak terus memasukkan duit ke dalam akaun bank," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!