Peniaga pasar malam didakwa curi Ford Ranger

Tertuduh, Mohd Zubairi (kanan) dikawal polis tiba di Mahkamah Majistret Tumpat untuk mendengar pertuduhan pada Selasa.
Tertuduh, Mohd Zubairi (kanan) dikawal polis tiba di Mahkamah Majistret Tumpat untuk mendengar pertuduhan pada Selasa.
A
A
A

TUMPAT - Seorang peniaga pasar malam mengaku tidak salah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan mencuri sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger di Palekbang di sini 3 Februari lalu.

Tertuduh, Mohd Zubairi Yaacob, 37, didakwa di Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama tiga yang sudah meninggal dunia iaitu Ahmad Syafiq Abdul Malik, 30, Mohd Khairul Anuar Iskandar, 33 dan Amir Sidi Ahmad, 50, mencuri sebuah Ford Ranger berwarna biru milik Mohd Asraf Mohd Asri di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Seri Pinang 2, Palekbang di sini pada jam 1.20 pagi, 3 Februari lalu.

Pertuduhan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri.

Pada prosiding itu, Muhammad Shahril menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Ahmad ‘Adha ‘Amir dalam rayuan terhadap anak guamnya memohon ikat jamin yang rendah kerana tertuduh mempunyai dua orang isteri dan lima orang anak berusia empat hingga 15 tahun.

“Anak guam saya hanya berniaga di pasar malam dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

Artikel Berkaitan:

“Tertuduh juga bekerja sambilan sebagai ejen pemerolehan yang ditugaskan untuk mendapatkan semula kenderaan yang tidak membayar ansuran kepada pihak bank,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah dan kes ditetapkan pada 6 April depan untuk sebutan semula.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, tiga lelaki maut termasuk dua rentung selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V yang dinaiki terbabas merempuh tiang di hadapan sebuah rumah kosong sebelum terbakar di Kampung Paloh, Morak di sini pada 3 Januari lalu

Kejadian membongkar aktiviti jenayah samun yang dilakukan sebelum nahas manakala seorang rakan mereka iaitu tertuduh yang memandu Ford Ranger curi itu pula terbabas berhampiran sebuah pejabat pos di Kubang Kerian.

Lelaki tersebut berjaya diberkas polis selepas dua minggu melarikan diri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!