'Tidak perlu datang terlalu awal, wang bantuan bencana cukup'

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Penerima wang bantuan bencana banjir daripada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dinasihatkan untuk tidak datang terlalu awal dan merancang waktu mereka sebaiknya ke tempat pemberian bantuan bagi mengelakkan daripada terpaksa beratur panjang.

Pegawai Daerah Klang, Mohd Faizal Abdul Raji berkata, pihaknya memulakan proses pemberian bantuan itu bermula dari jam 3 petang hingga 8.30 malam dan setiap penerima bantuan telah diberi tarikh tertentu untuk menuntut wang bantuan berkenaan.

"Kita dapati ada yang telah beratur seawal jam 1 tengah hari hingga ke luar dewan dalam cuaca yang terik, ini yang menyebabkan barisan menjadi terlalu panjang hingga ke luar kawasan tempat pusat pemberian bantuan.

"Mereka tidak perlu datang dan beratur terlalu awal dan tidak perlu khuatir kerana wang bantuan disediakan secukupnya untuk semua penerima, iaitu kira-kira 3,000 penerima sehari," katanya ketika dihubungi bagi mengulas situasi orang ramai yang dilihat beratur panjang sejauh kira-kira dua kilometer di Dewan MBSA Kota Kemuning, Seksyen 23 di sini untuk mendapatkan bantuan tersebut.

Katanya, pihaknya akan membuka operasi tempat pemberian bantuan itu sehingga Jumaat ini dan tempoh masa proses pemberian selama lima jam setengah iaitu sehingga 8.30 malam dibuat bagi memudahkan untuk mereka mendapatkan bantuan itu selepas tamat waktu bekerja. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!