Pusat rawatan estetik tanpa tauliah dikesan
SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menemui beberapa peralatan perubatan dan pergigian yang disyaki digunakan dalam rawatan estetik terhadap empat premis yang melibatkan di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peralatan tersebut hanya boleh digunakan oleh seorang pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia.
Menurutnya, siasatan awal mendapati premis-premis tersebut telah menyediakan suatu rawatan estetik yang hanya boleh disediakan di fasiliti-fasiliti kesihatan yang berdaftar atau berlesen dengan KKM.
“KKM melalui Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Bahagian Amalan Perubatan bertindak melalui maklumat yang disalurkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia berkenaan perkara tersebut setelah mendapati perkhidmatan rawatan estetik yang disediakan melibatkan penggunaan peralatan-peralatan perubatan dan ubat-ubatan berjadual.
“Aktiviti penguatkuasaan ini turut disertai oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta, Jabatan Kesihatan WP Kuala Lumpur & Putrajaya (CKAPS KL), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (CKAPS Selangor), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (CKAPS Pulau Pinang) dan Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (CKAPS Negeri Sembilan).
“Aktiviti ini telah dilakukan ke atas empat premis melibatkan dua Kuala Lumpur, satu di Selangor dan satu premis di Pulau Pinang,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, kes tersebut disiasat bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) kerana disyaki menyediakan sebuah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) yang tidak berdaftar atau berlesen selaras dengan ketetapan Seksyen 3 dan/atau Seksyen 4, Akta 586 dan boleh disabitkan kesalahan bawah Seksyen 5, Akta yang sama.
“Mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen ini, boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.
“Manakala, bagi suatu kesalahan yang dilakukan oleh suatu pertubuhan perbadanan, perkongsian atau pertubuhan boleh didenda sehingga RM500,000,” ujarnya.
Jelas beliau, KKM menasihatkan orang awam yang berhasrat untuk mendapatkan rawatan estetik, supaya mendapatkan rawatan di KPJKS yang berdaftar atau berlesen bawah Akta 586.
“Rawatan ini boleh didapati melalui khidmat pengamal perubatan yang mempunyai Letter of Credentialing and Previleging (LCP) bagi memastikan perkhidmatan jagaan kesihatan yang diterima adalah selamat dan berkualiti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!