Hilal rakan gandingan Casagrande gempur kubu lawan

Kehadiran Hilal (kiri) dinantikan oleh penyokong Penang FC selepas khabar angin untuk mendapatkannya tersebar sejak hujung tahun lalu. - Foto Penang FC
Kehadiran Hilal (kiri) dinantikan oleh penyokong Penang FC selepas khabar angin untuk mendapatkannya tersebar sejak hujung tahun lalu. - Foto Penang FC
A
A
A

PENYERANG pasukan kebangsaan Lubnan, Al Helwe Hilal Bassam menjadi 'senjata' terbaharu Penang FC menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2022.

Kehadiran pemain berusia 28 tahun itu menjadi pelengkap kepada jentera serangan Harimau Kumbang yang sebelum ini sudah mempunyai khidmat pengempur utama seperti Casagrande selain Jafri Firdaus Chew dan Faiz Subri di posisi tersebut.

Penyerang serba boleh itu mampu menjadi alternatif kepada pengendali Penang FC, Tomas Trucha kerana mampu bermain di bahagian tengah dan juga sebagai pemain sayap di sebelah kiri serta kanan pasukan.

Casagrande berjaya meledak 12 jaringan pada musim lalu dan Trucha tidak mahu pasukan tersebut bergantung kepada pemain Brazil itu sahaja untuk memburu gol pada musim 2022.

Pasukan yang muncul di tangga ketiga terbaik Liga Super 2021 itu dalam kenyataan baru-baru ini berkata, bekas pemain kelab Ahed yang beraksi di Liga Perdana Lubnan baharu sahaja selesai tugasan bersama pasukan negaranya.

"Selepas bermain selama lima tahun di Jerman untuk TSV Havelse, VfL Wolfsburg II, dan Hallescher FC, Hilal berpindah ke Greece pada 2018 untuk bersama Apollon Smyrnis.

"Pada 2019 dia kembali ke Jerman, menandatangani kontrak dengan SV Meppen, sebelum berpindah ke Timur Tengah pada 2021, menyertai Al-Faisaly di Jordan kemudian Ahed di Lubnan," katanya.

Tambahnya, Hilal yang dilahirkan di Hannover, Jerman membuat penampilan sulung antarabangsa untuk pasukan Lubnan pada 2015 dan menjaringkan dua gol menentang Korea Utara di pentas Piala Asia AFC 2019.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!