Tahanan positif Covid-19 lari dari Hospital Kota Kinabatangan
KINABATANGAN - Seorang lelaki warga Filipina yang ditahan atas kesalahan dadah, melarikan diri ketika menerima rawatan Covid-19 di Hospital Kota Kinabatangan di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, kehilangan Suhin Mursidi, 37, dari bilik tahanan kuarantin wad lelaki hospital itu hanya disedari apabila pemeriksaan dibuat oleh dua anggota sentri yang bertugas pada kira-kira jam 2.40 pagi.
"Lelaki itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan pada 18 Februari kira-kira jam 10.30 malam di Perumahan Pekerja Ladang Pontian Pico atas kesalahan memiliki dadah jenis syabu seberat 30.21 gram.
"Tahanan kemudian dibawa ke Hospital Kota Kinabatangan untuk menjalani Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 sebelum dimasukkan ke lokap. Bagaimanapun, tahanan disahkan positif Covid-19 dan dirujuk ke hospital itu untuk rawatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dzulbaharin berkata, lelaki itu dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang wad lelaki hospital dengan memakai kemeja T berwarna hitam dan berseluar jeans.
Operasi Kesan dilancarkan untuk memburu lelaki terbabit dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya supaya menghubungi Pusat Kawalan Daerah Kinabatangan dengan menelefon 089-561890 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Norazmeer Azmi dengan menelefon 013-6309080. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!