PTPTN umum dividen tiga peratus SSPN 2021
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tahun 2021 sebanyak tiga peratus.
Lebih istimewa, PTPTN turut melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022 pada kadar satu peratus.
Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, agihan dividen Simpan SSPN itu melibatkan anggaran peruntukan berjumlah RM206.25 juta yang akan memberi manfaat kepada 5.24 juta pendeposit akaun Simpan SSPN.
Menurutnya, ia menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen adalah RM1.06 bilion semenjak Simpan SSPN diperkenalkan.
Katanya, kadar dividen yang diberikan kepada pendeposit Simpan SSPN adalah berdasarkan kepada pulangan bersih pelaburan yang telah dibuat atas deposit yang telah diterima oleh PTPTN.
"Dividen yang diberikan ini masih lagi kompetitif berbanding keuntungan akaun semasa dan simpanan tetap. Ia juga mengambil kira mandat pelaburan PTPTN yang dibenarkan adalah terhad dalam pasaran wang dan pasaran sukuk.
"Justeru itu, sekiranya dilihat kadar tiga peratus tersebut berbanding dengan kadar dasar semalaman yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahap 1.75 peratus dan keuntungan atau kadar faedah produk simpanan yang ditawarkan oleh bank tempatan bagi tahun 2021 antara 1.50 peratus sehingga 2.20 peratus, produk Simpan SSPN ini masih menawarkan kadar pulangan yang menarik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan agihan dividen Simpan SSPN 2021 dan melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022 di Menara PTPTN, di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan pengurusan tertinggi PTPTN.
Keuntungan berganda
Wan Saiful menambah, selain dividen, Simpan SSPN turut menawarkan pelbagai keistimewaan kepada pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful dan geran sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak.
"Ini bermakna, pendeposit Simpan SSPN sebenarnya akan menikmati keuntungan yang berganda dan bukan hanya tiga peratus kadar dividen sahaja.
"Pemberian dividen pada kadar tiga peratus ini jelas menunjukkan bahawa Simpan SSPN tetap mempunyai daya saing berbanding produk-produk simpanan lain yang ditawarkan di pasaran," ujarnya.
Tegas beliau, pada masa sama ia juga membuktikan bahawa Simpan SSPN amat relevan untuk penabungan dengan pemberian kadar dividen kompetitif walaupun dalam ekonomi negara tidak menentu.
"Harapan saya dengan tiga peratus dividen dan satu peratus Ganjaran Kesetiaan yang diberikan ini dapat menarik minat masyarakat Malaysia untuk menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama simpanan pendidikan anak-anak," jelasnya.
Menurutnya, dengan usaha PTPTN dan sokongan masyarakat serta pendeposit Simpan SSPN, jumlah deposit Simpan SSPN bagi tahun 2021 adalah berjumlah RM3.01 bilion atau 167.08 peratus berbanding dengan sasaran RM1.8 bilion.
Beliau menjelaskan, ini menjadikan jumlah keseluruhan deposit Simpan SSPN sehingga 31 Disember 2021 adalah RM10.88 bilion manakala keuntungan pelaburan deposit Simpan SSPN bagi tahun 2021 adalah berjumlah RM267.61juta.
"Bagi prestasi pembukaan akaun baharu Simpan SSPN pula, sebanyak 421,281 akaun telah berjaya dibuka pada tahun 2021 berbanding sasaran tahunan sebanyak 400,000 akaun.
"Pencapaian ini adalah 105.32 peratus berbanding sasaran tahunan. Secara keseluruhan, sehingga 31 Disember 2021 sebanyak 5.24 juta akaun Simpan SSPN telah dibuka sejak instrumen simpanan ini diperkenalkan pada tahun 2004," katanya.
Pendeposit Simpan SSPN boleh membuat semakan dividen di penyata simpanan masing-masing melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my mulai 25 Februari 2022 (Jumaat).
Hadiah istimewa kepada pendeposit
Menyentuh mengenai Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022 pada kadar satu peratus, Wan Saiful berkata, Ganjaran Kesetiaan tersebut adalah hadiah istimewa dan sebagai tanda penghargaan PTPTN kepada pendeposit yang membuat simpanan dalam jangka masa panjang.
“Ganjaran Kesetiaan ini akan dinikmati oleh pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan terkumpul dalam tempoh promosi dengan jumlah minimum sebanyak RM500.
"Tempoh promosi bermula 22 Februari 2022 hingga 30 April 2022 dan layak disertai oleh pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime pada tahun 2004 sehingga 31 Disember 2018," ujarnya.
Jelasnya, ganjaran kesetiaan yang akan diberikan tersebut sangat berbaloi sebagai pulangan tambahan selain dividen tahunan.
"Jadi kepada pendeposit Simpan SSPN Prime yang layak, rebutlah peluang keemasan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!