162 PATI ditahan PGA Briged Tenggara sejak Januari

Seramai 162 PATI ditahan PGA Briged Tenggara sejak awal Januari hingga Isnin menerusi Op Wawasan Kelantan di sempadan Malaysia-Thailand. - Gambar hiasan
Seramai 162 PATI ditahan PGA Briged Tenggara sejak awal Januari hingga Isnin menerusi Op Wawasan Kelantan di sempadan Malaysia-Thailand. - Gambar hiasan
A
A
A

PASIR MAS - Seramai 162 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara sejak awal Januari hingga Isnin menerusi Op Wawasan Kelantan di sempadan Malaysia-Thailand.

Komander PGA Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata, PATI warga Myanmar merekodkan tangkapan tertinggi iaitu seramai 112 orang, diikuti Thailand (43 orang), Rohingya (lima orang) dan China (dua orang).

"Pihak kami telah melakukan pemeriksaan ketat ke atas semua kenderaan penumpang termasuk yang menggunakan bas persiaran kerana ada antara penyeludup migran ini menganggap bas persiaran mewah sukar ditahan ketika pemeriksaan di sekatan jalan raya.

"Namun, taktik menggunakan bas persiaran untuk membawa warga asing ini gagal berikutan hasil risikan serta maklumat yang kami peroleh," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, anggotanya menahan tujuh PATI membabitkan warga Thailand dan China dalam dua sekatan berbeza di sekatan jalan raya Lalang Pepuyu, Tanah Merah pada Isnin.

"Anggota kami juga berjaya menahan tujuh PATI warga Myanmar dalam serbuan di pangkalan haram Manggis, Rantau Panjang pada 19 Februari lepas.

"Semua PATI tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan kes disiasat di bawah Seksyen 55E(1), Seksyen 6(1) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963," katanya kepada pemberita pada sidang media di Martek Lubok Setol di Rantau Panjang pada Selasa.

Mat Shukor berkata, kawasan semak-samun selain bentuk muka bumi di negeri ini berhampiran sempadan negara jiran merupakan antara faktor kegiatan haram penyeludupan warga asing dilakukan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!