Terjun dalam tangki air elak dicekup polis

Bomba mengeluarkan lelaki yang berada dalam tangki air di rumah keluarganya di Kampung Bukit Cherakah di sini pada Selasa.
Bomba mengeluarkan lelaki yang berada dalam tangki air di rumah keluarganya di Kampung Bukit Cherakah di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Gara-gara bimbang dicekup polis, seorang lelaki bertindak terjun ke dalam tangki air di atas rumah keluarganya di Kampung Bukit Cherakah di sini pada Selasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.12 petang.

Menurutnya, seramai enam anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikerah ke lokasi kejadian.

"Kita berjaya mengeluarkan lelaki itu dalam tempoh 40 minit dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.15 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Norazam berkata, berdasarkan maklumat awal, lelaki yang mempunyai masalah mental berusia 29 tahun itu dipercayai mengamuk di rumah keluarganya.

"Ahli keluarga kemudian menghubungi polis dan lelaki itu bertindak lari lalu terjun ke dalam tangki air," ujarnya.

Beliau memberitahu, polis kemudian meminta bantuan bomba untuk mengeluarkan lelaki terbabit.

"Lelaki itu kemudian diserahkan kepada polis dan pegawai perubatan untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!