Tragedi kepala air: Keluar modal RM40,000 baik pulih chalet

Syazwan Anas sedang membersihkan chalet Siti Hafsah sebelum menerima kedatangan pelanggan di chaletnya di kaki Gunung Jerai di sini pada Selasa.
Syazwan Anas sedang membersihkan chalet Siti Hafsah sebelum menerima kedatangan pelanggan di chaletnya di kaki Gunung Jerai di sini pada Selasa.
A
A
A

YAN - Seorang pengusaha chalet yang terjejas dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai di sini pada Ogos lalu mengeluarkan kos kira-kira RM40,000 untuk proses baik pulih tiga buah chaletnya.

Pengusaha Chalet Salak Denai, Syazwan Anas Abdul Mutalib, 40, berkata, kesemua peruntukan terbabit adalah hasil sumbangan saudara mara dan rakan-rakan selain simpanan sendiri.

Katanya, proses baik pulih memakan masa lebih tiga bulan dan ketiga-tiga chalet berkenaan mula beroperasi pada pertengahan Disember lalu.

"Pendapatan kami sekeluarga hanya bergantung kepada chalet ini sahaja, jadi kami terpaksa guna sumber yang ada untuk menjalankan proses baik pulih dengan lebih cepat.

"Alhamdulillah setakat ini Chalet Siti Aisyah, Siti Safiyyah dan Siti Hafsah sudah mula menerima tempahan daripada pelanggan," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Menurutnya, kos yang dikeluarkan agak tinggi disebabkan terpaksa menyewa mesin khas untuk mengalihkan batu dan kayu balak yang dibawa arus.

"Kayu balak diambil oleh Jabatan Perhutanan cuma kita mahu cepatkan proses bersihkan kawasan chalet jadi terpaksa sewa mesin yang sesuai," katanya.

Ujarnya, ketika ini dia dalam proses membaik pulih chalet Siti Khadijah, Siti Fatimah serta kediaman mereka yang turut menempatkan pejabat sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Dua bilik asrama dan chalet Siti Aminah yang rosak 100 peratus dalam tragedi terbabit mungkin tidak akan dibina baharu.

"Rumah kami pun hanya tinggal 40 peratus sahaja, jadi saya baiki sikit-sikit supaya lebih selesa dan selamat untuk anak-anak dan isteri berteduh.

Syazwan Anas menunjukkan kolam mandi chalet Siti Aminah yang masih tersisa akibat tragedi kepala air pada 18 Ogos lalu.
Syazwan Anas menunjukkan kolam mandi chalet Siti Aminah yang masih tersisa akibat tragedi kepala air pada 18 Ogos lalu.

"Minta bantuan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sampai hari ini tidak ada jawapan, cuba mohon dengan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) pula tidak memenuhi syarat kelayakan sebab saya bukan asnaf," katanya.

Syazwan Anas berkata, bagaimanapun dia bersyukur kerana perniagaan chalet itu kembali mendapat sambutan orang ramai.

"Alhamdulillah, setakat ini sambutan sangat memberangsangkan terutamanya pada musim cuti sekolah.

"Cuma sekarang musim kering, jadi kita terpaksa bergantung kepada keadaan air untuk menerima tempahan," katanya.

Dalam masa yang sama dia turut mengharapkan kerajaan mengambil inisiatif tertentu untuk mengelakkan kejadian sama berulang kembali.

"Paling penting wujudkan satu sistem amaran awal supaya penduduk di kaki Gunung Jerai di sini dapat bersedia lebih awal sekiranya berlaku kepala air di atas sana.

"Kalau dulu mungkin kami tidak risau sangat kalau sesekali terjadi kepala air, tetapi sekarang kerisauan dan trauma tu sedikit sebanyak tetap ada," katanya yang kehilangan datuk yang juga bekas imam Ku Shuib Ku Abdullah, 91 tahun dalam tragedi pada 18 Ogos lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!