Syarikat insurans cerewet, mangsa banjir mula hilang sabar

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

TARIKH 18 Disember 2021 pasti sukar dilupakan buat mangsa banjir di Selangor. Jumaat lalu, genap dua bulan peristiwa itu tercatat dalam sejarah negara.

Sebelum ini, Merak Jalanan banyak mendengar rungutan mangsa banjir mengenai kelewatan agihan bantuan daripada kerajaan.

Tapi rungutan itu kini semakin reda apabila hampir kesemua mangsa banjir sudah pun menerima bantuan dijanjikan.

Merak Jalanan ingatkan isu banjir sudah selesai, rupanya timbul satu lagi rungutan dalam kalangan mangsa banjir. Kali ini berkaitan tuntutan insurans bencana untuk perumahan pula.

Bagi rumah-rumah yang masih baharu dan mempunyai pinjaman bank, ia dilindungi insurans tersebut.

Merak Jalanan dapat tahu, ada mangsa banjir sudah hilang sabar dengan kerenah segelintir syarikat insurans. Sudahlah panggilan telefon susah nak dijawab, malah ada yang diperlakukan seperti bola ditolak ke sana sini semasa membuat laporan.

Ramai mendakwa terpaksa membiarkan rumah yang rosak tidak dibaiki semata-mata kerana menunggu ‘adjuster’ untuk menilai kos kerosakan.

Selepas tunggu berminggu lamanya, barulah ‘adjuster’ datang, itu pun selepas didesak. Bila sudah buat penilaian, wang tuntutan dijanjikan pula tak dapat-dapat. Lebih sebulan masih dalam proses permohonan.

Artikel Berkaitan:

Isu itu bukan berlaku kepada seorang mangsa. Merak Jalanan jumpa beberapa lagi mangsa banjir yang mengaku tertekan dengan syarikat insurans yang bermain tarik tali. Kerana terlalu cerewet, ada yang 'give up', langsung tak buat tuntutan.

Merak Jalanan tak mahu memihak kepada sesiapa, namun jika benar apa yang didakwa, harap syarikat insurans segerakanlah tuntutan mereka.

Maklum sahaja, kebanyakan mangsa banjir kini amat memerlukan wang yang banyak untuk membaiki rumah yang rosak. Lebih-lebih lagi bulan puasa dan Aidilfitri semakin hampir, hilang mood nak beraya nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!