Penduduk Kampung Gong Menkelih terpaksa guna air keruh
PASIR PUTEH - Lebih 500 penduduk di kawasan Kampung Gong Menkelih, di sini berdepan masalah air kotor dan keruh yang dipercayai berlaku kesan daripada penebangan pokok tidak terkawal di Hutan Simpan Kekal Ulu Sat.
Masalah tersebut didakwa berlaku sejak awal tahun ini selepas penduduk mendapati air di kediaman mereka keruh walaupun tidak mengalami hujan.
Seorang penduduk, Wan Mohd Shahrul Azwadi Wan Husin, 40, memberitahu, dia dan beberapa penduduk kampung yang lain naik ke kawasan hutan berkenaan untuk melihat keadaan kolam tadahan air bukit yang dibina sejak lebih 40 tahun lalu.
"Pada mulanya kami ingatkan paip yang menyalurkan air berkenaan tersumbat. Rupa-rupanya kesan penebangan dan pokok jatuh ke dalam kolam berkenaan.
"Kami ada hubungi pihak berkaitan dan mereka ada datang untuk bersihkan namun air tetap keruh dan tidak bersih.
Kami difahamkan penebangan pokok getah berkenaan menghampiri sungai sehingga masuk ke kolam tadahan,"katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Seorang lagi penduduk, Abdul Razak Ismail, 38, berkata, dia terpaksa berhabis ratusan ringgit untuk membeli keperluan air bersih bagi kegunaan keluarganya setiap hari.
Katanya, sebelum ini mereka tidak pernah mengalami masalah demikian walaupun berdepan hujan berpanjangan di musim tengkujuh.
"Sebelum ini air tidak pernah keruh...bersih saja.
Sebab itu bila jadi macam ini, kami terkejut dan siasat puncanya.
Memang di luar jangkaanlah, sebab kami ingatkan paip tersumbat dengan pasir," katanya.
Menurutnya, paip berkenaan dibina hasil titik peluh penduduk kampung melibatkan 1,000 meter dari aras kolam berkenaan sehingga ke kampung berkenaan.
Beliau berkata, penduduk kampung akan ke kolam berkenaan dua bulan sekali untuk membersihkan paip dan melihat kawasan kolam supaya ia sentiasa bersih dan tiada gangguan di kawasan utama saluran paip tersebut.
Sementara itu, seorang peniaga kedai makan, Rohayati Abdul, 54 memberitahu, dia terpaksa menutup kedai hampir dua minggu disebabkan ketiadaan air bersih.
Katanya, ia menjejaskan sumber pendapatannya yang bergantung harap sepenuhnya pada perniagaan di kedai tersebut.
"Macam mana hendak berniaga kalau keadaan air keruh dan tidak bersih.
Kami merayu supaya ia dibersihkan dengan cara yang betul. Jernihkan kembali air tersebut sebagaimana sebelum ini.
"Penebangan pokok tidak salah jika ia mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Jangan jadikan kolam sebagai tempat berkumpulnya bahan tebangan tersebut,"katanya.
Penduduk kampung mahu pihak berkuasa dan agensi yang berkaitan turun padang membantu menyelesaikan masalah berkenaan secepat mungkin kerana ia bakal menjadi masalah berganda jika dibiarkan berlarutan menjelang Ramadan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!