40 tahun hasilkan 20,000 blok batik cetak
KOTA BHARU - Menghasilkan lebih 20,000 blok batik cetak sejak 40 tahun lalu menjadikan bapa kepada tujuh cahaya mata di Kampung Senang, Kota Jembal di sini sebagai individu hebat dalam kesenian pembuatan blok berkenaan.
Zakaria Che Ahmad, 65, mula menceburi pembuatan blok batik sejak tahun 1978 lalu memberitahu pada awalnya dia hanya meminati kesenian tulisan khat.
"Pada mulanya, saya mahu belajar di Institut Kraf Negara dalam bidang tulisan khat tapi ketika itu saya di maklumkan hanya ada pembuatan blok sahaja. Maka saya teruskan juga belajar sampailah saya tamat dan buka bengkel sendiri.
"Dalam masa yang sama saya juga diminta untuk menjadi tenaga pengajar di beberapa lokasi seluruh negara bagi memberi pendedahan mengenai pembuatan blok ini," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Menurutnya, penghasilan blok berkenaan mengambil masa tiga hingga lima hari berdasarkan jenis dan corak yang diminta pelanggannya.
Dia juga memberitahu, harga jualan blok batik yang dikenakan adalah berdasarkan jenis corak tempahan seperti bunga raya, bunga tumpat, pucuk rebung,gunung, pengapit dan pucuk buluh.
"Rata-ratanya bermula dari RM50 hingga RM500. Biasanya pelanggan akan telefon saya untuk membuat tempahan. Mereka akan hantar gambar bunga atau corak yang mereka mahu. Saya akan lukis terlebih dahulu dan hantar kepada mereka. Bila mereka setuju baru saya lakukan langkah seterusnya.
"Selepas itu saya akan mulakan guntingan tembaga mengikut corak yang pelanggan mahukan. Selepas selesai semua, saya akan hantar kepada mereka dan berikan tunjuk ajar bagaimana mahu menjaga blok berkenaan.
"Ada di antara pelanggan saya yang membuat tempahan untuk dijadikan cenderamata, untuk kegunaan pembuatan batik dan ada juga untuk disimpan. Maka saya akan maklumkan kepada mereka cara penjagaannya kerana ia boleh bertahan sehingga lebih 40 tahun jika kena dengan caranya," katanya.
Zakaria memberitahu, sehingga kini blok yang dihasilkannya juga akan digunakan sendiri dan dijual melalui produk hasilan seperti baju, cenderamata, cadar dan sarung bantal.
Mengulas mengenai masa depan seni pembuatan blok batik cetak ini, Zakaria memberitahu, walaupun ia bukan pekerjaan yang popular namun ia tetap perlu diteruskan agar tidak luput dek zaman dan sentiasa mempunyai pelapis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!