Penunggang motosikal maut nahas enam kenderaan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang penunggang motosikal maut dalam nahas membabitkan enam kenderaan di kilometer 15.7 Lebuhraya Persekutuan menghala Klang di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian jam 7.40 malam itu, mangsa yang berusia 20 tahun tidak menggunakan lorong motosikal telah melanggar bahagian belakang sebuah Proton Iriz sebelum terbabas.

Menurutnya, Proton Iriz tersebut berada di lorong paling kanan lebuhraya berkenaan cuba menukar lorong ke kiri untuk mengelak daripada melanggar kenderaan di hadapan yang membrek secara mengejut.

"Pelanggaran tersebut menyebabkan penunggang motosikal jenis Yamaha Y150 terjatuh dan dilanggar oleh kereta jenis Honda City yang datang dari belakang.

"Honda City berkenaan terbabas dan terlanggar dua buah kereta lain jenis Mercedes dan Toyota Vios yang berada di hadapan. Toyota Vios tersebut tertolak ke hadapan dan melanggar sebuah Perodua Myvi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kelima-lima pemandu kereta terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Penunggang motosikal yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan," katanya.

Katanya, saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan atau hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zulkifli Razak di talian 019-4475767.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!