AS umum sekatan baharu ke atas Rusia
WASHINGTON - Presiden, Joe Biden mengumumkan satu set sekatan baharu Amerika Syarikat (AS) ke atas sektor kewangan Rusia berikutan keputusan Moscow mengiktiraf kemerdekaan republik rakyat Donetsk dan Luhansk.
"Kami akan melaksanakan sekatan penuh ke atas dua institusi kewangan utama Rusia, VEB dan bank tentera mereka. Kami melaksanakan sekatan menyeluruh ke atas hutang kerajaan Rusia.
"Bermakna kami menyekat kerajaan Rusia daripada pembiayaan Barat. Ia tidak lagi boleh mengumpul duit daripada Barat dan tidak boleh melakukan perdagangan baharu di pasaran kami mahupun pasaran Eropah," lapor Sputnik memetik ucapan Biden di Rumah Putih.
Lebih banyak sekatan terhadap Rusia akan diumumkan jika keadaan Ukraine bertambang meruncing.
Selain itu, Biden turut mengumumkan beliau telah meluluskan penempatan tentera AS ke wilayah Baltik untuk membantu memperkukuh pasukan NATO.
Menurut Pentagon, 800 tentera AS akan dihantar dari Itali ke wilayah Baltik, selain 20 helikopter Apache. Sebanyak lapan jet pejuang F-35 dijadual dihantar ke lokasi yang tidak dinyatakan manakala 12 helikopter Apache dihantar ke Poland. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!