Kereta terhuyung-hayang rupanya pemandu sakit kepala

Tangkap layar rakaman video yang tular menunjukkan sebuah kereta dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum melanggar tiang elektrik.
Tangkap layar rakaman video yang tular menunjukkan sebuah kereta dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum melanggar tiang elektrik.
A
A
A

BALING - Seorang datuk dan dua cucunya terselamat setelah kenderaan dinaiki terbabas sehingga melanggar tiang elektrik di Kampung Mengkuang Masjid, Jalan Kuala Pegang di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, pemandu yang merupakan lelaki warga emas berusia 70 tahun dikatakan gagal mengawal kereta jenis Proton Wira kerana dipercayai mengalami sakit kepala dan demam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, kemalangan berlaku semasa warga emas itu sedang memandu dari arah Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah Kampung Pisang, Kupang menghala pulang ke rumah di Kampung Paya Besar.

Menurutnya, turut berada dalam kereta, dua cucu berusia 14 dan 15 tahun yang baru diambil dari sekolah.

"Apabila sampai di tempat kejadian, warga emas terbabit dikatakan mengalami sakit kepala menyebabkannya hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan di sebelah kiri dan melanggar tiang elektrik.

"Berdasarkan siasatan awal, lelaki terbabit dikatakan telah mengambil ubat sebelum keluar memandu," katanya.

Shamsudin berkata, kenderaan dinaiki mereka remuk di bahagian hadapan bagaimanapun, kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59).

Artikel Berkaitan:

Rakaman video memaparkan kereta yang dipandu warga emas terbabit dalam keadaan terhuyung-hayang turut tular di media sosial.

Video berdurasi 21 saat itu sehingga kini dikongsi lebih 300 pengguna dan mencecah 100,000 tontonan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!