Malaysia-Kemboja-Thailand kukuh kerjasama hadapi pasca pandemik
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan lawatan rasmi sulung ke Kemboja dan Thailand bermula Rabu hingga Sabtu ini.
Lawatan selama empat hari itu bagi memenuhi jemputan Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen dan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha.
Menurut kenyataan Wisma Putra, semasa lawatan rasmi ke Kemboja, Ismail Sabri dijadual menghadap Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni di samping pertemuan dengan Hun Sen untuk membincangkan pengukuhan hubungan dua hala.
"Ini termasuk kerjasama pasca pandemik Covid-19, kerjasama ASEAN, serta isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
"Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja. Seterusnya, turut bertemu dengan Keluarga Malaysia di Kemboja," menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut kenyataan itu lagi, semasa lawatan rasmi ke Thailand, Ismail Sabri akan mengadakan pertemuan dengan Prayut Chan-o-cha yang akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin membincangkan hala tuju kerjasama pelbagai bidang antara Malaysia dan Thailand.
"Bidang-bidang utama meliputi kerjasama ekonomi, kerjasama pasca pandemik Covid-19, pembukaan sempadan antara kedua-dua negara, dan projek-projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat.
"Program Ismail Sabri turut meliputi sesi dengan Dewan Perniagaan Malaysia – Thailand (MTCC) dan sesi ramah mesra bersama Keluarga Malaysia di Bangkok," katanya.
Jelas Wisma Putra, lawatan Ismail Sabri ke Kemboja dan Thailand mencerminkan hubungan rapat dan menyeluruh Malaysia dengan kedua-dua negara jiran serta rakan ASEAN tersebut.
Selain itu ia dapat membuka peluang kepada ketiga-tiga negara untuk meneroka inisiatif bersama dalam usaha pemulihan pasca pandemik, serta dalam menangani cabaran serantau dan antarabangsa.
Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Lawatan akan berlangsung mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi pencegahan Covid-19 yang berkuat kuasa di Malaysia, Kemboja dan Thailand
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!