Polis terima 6 laporan berkaitan kenyataan Ramasamy

Abd Jalil
Abd Jalil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menerima enam laporan berkaitan kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy yang didakwa bersifat provokatif dan telah mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung hantaran di Facebook Ramasamy pada 13 Februari lalu.

"Hantaran itu mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana mengaitkan pihak berkuasa agama Perlis dengan istilah pengislaman unilateral, penculikan, manipulasi, paksaan dan ancaman dalam mengulas isu hak penjagaan anak-anak Loh Siew Hong," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Abd Jalil, siasatan djalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan Undang-undang (D6) JSJ Bukit Aman.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum, Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kenyataan mengaibkan yang boleh menyebabkan pecah keamanan.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,'' tegas beliau.

Abd Jalil menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan selain berhati-hati menyentuh isu sensitiviti agama dan kaum.

Pada Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan tiga beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan segera kepada ibu mereka, Siew Hong selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.

Artikel Berkaitan:

Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin baru-baru ini mengesahkan tiga kanak-kanak berumur antara 10 hingga 14 tahun sah telah memeluk Islam.

Bagaimanapun, Siew Hong dilaporkan telah membuat laporan polis bagi meminta memulangkan anak-anaknya yang didakwa ditahan seorang pendakwah wanita dari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mualaf di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Siew Hong mendakwa telah berpisah dengan suaminya, M Nagahswaran sejak Mac 2019 dan kemudian berpisah daripada anak-anaknya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!