Warta segera Pulau Bangau
TELUK INTAN - Kerajaan Perak digesa mempercepatkan proses mewartakan Pulau Bangau bagi memastikan habitat lebih 10 jenis burung bangau itu dilindungi dari dimusnahkan pihak tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Persatuan Pelancongan Teluk Intan, Fong Seow Kai Cheuan berkata, pihaknya pernah mengadakan perjumpaan bersama Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Kar Hing baru-baru ini dan beliau memaklumkan akan mengadakan lawatan ke Pulau Bangau pada 9 April akan datang.
"Kerajaan negeri perlu mewartakan pulau ini dengan segera kerana kami bimbang sekiranya ia lambat diwartakan keadaan akan menjadi lebih teruk kerana sudah mula ada individu yang datang ke pulau dan mengganggu habitat burung bangau ini.
"Kami sendiri pernah melihat mereka melastik burung tersebut, membaling mercun, memotong dahan tempat ia bersarang dan lain-lain lagi hingga burung-burung itu ketakutan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pulau Bangau, di sini, baru-baru ini.
Menurut Kai Cheuan selain perlu mewartakan Pulau Bangau, pihaknya juga memohon kerajaan negeri untuk membina satu jeti khusus di Teluk Intan bagi kegunaan bot pelancong yang ingin mengikuti pakej jelajah Sungai Perak dan Pulau Bangau di bandar itu.
"Jeti sedia ada ini tidak sempurna dan digunakan untuk bot penambang, jadi kami memohon satu jeti yang khusus, lebih selamat, selesa serta luas dengan kemudahan parkir bas serta tandas awam dibina kerajaan negeri.
"Adalah menyedihkan kerana Teluk Intan terkenal sebagai lokasi pelancongan dan pakej jelajah Sungai Perak dan Pulau Bangau semakin mendapat sambutan tetapi kemudahan awam tiada, jadi kami harap kerajaan negeri pertimbangkannya," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pelancongan Teluk Intan, Iskandar Zulqarnain Zaheruddin berkata, penduduk Teluk Intan perlu menghargai kewujudan Pulau Bangau yang kini menjadi tarikan di bandar tersebut.
"Harapan saya penduduk Teluk Intan mempertahankan kewujudan Pulau Bangau daripada penceroboh atau individu tidak bertanggungjawab yang menganggu habitat burung-burung ini.
"Jika tidak kita akan kehilangan satu lagi tarikan pelancong di Teluk Intan dan kami berharap kerajaan negeri segera mengambil tindakan dengan mewartakan pulau ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!