Majikan aniaya pembantu rumah asing akan disenarai hitam
SHAH ALAM - Mana-mana majikan yang dikenal pasti menafikan hak-hak kebajikan Pembantu Rumah Asing (PRA) sebagai pekerja termasuk melakukan penganiayaan, akan disenarai hitam dan tidak dibenarkan menggajikan PRA pada masa akan datang, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan majikan yang didapati mengambil kesempatan ke atas PRA seperti tidak membayar gaji.
Menurutnya, meskipun kejadian kes penganiayaan terhadap PRA agak terpencil, namun ia telah menjejaskan imej dan nama baik negara.
"Contoh terbaharu adalah laporan dalam satu portal media yang menyatakan seorang PRA warga Indonesia tidak dibayar gaji meskipun telah berkhidmat selama 12 tahun.
"Perkara ini juga turut menjejaskan usaha kerajaan dalam memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) penggajian PRA dengan negara sumber seperti Indonesia dan Kemboja.
"Isu sebegini jugalah yang telah menyebabkan MoU dengan kerajaan Republik Indonesia tertangguh dan tidak diperbaharui sejak tahun 2016," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau menambah, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri akan terus bekerjasama rapat menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia termasuk Sabah serta Sarawak dan Jabatan Imigresen untuk menangani isu-isu membabitkan penganiayaan terhadap PRA.
"Sehingga 31 Januari 2022, jumlah keseluruhan pekerja warga asing adalah seramai 1,157,481 orang dengan jumlah PRA adalah 86,084 orang. Majoriti PRA adalah dari Indonesia (59,605) diikuti dengan Filipina (22,803), Vietnam (1,031), Kemboja (976) dan lain-lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!