Isu buku Gay Is OK!: KDN diharap merayu ke Mahkamah Rayuan
PUTRAJAYA - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan berhubung kebenaran buku Gay Is OK! A Christian Perspective dijual di negara ini.
Menurutnya, langkah tersebut perlu diambil supaya ia tidak mendatangkan kegusaran masyarakat di negara ini khususnya umat Islam.
"Tidak perlu untuk kita normalisasi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia yang agama rasminya Islam, bermasyarakat ketimuran dan penuh kesopanan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan manual komuniti hijrah lesbian dan gay terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini pada Rabu.
Pada Selasa, Mahkamah Tinggi Kula Lumpur membatalkan perintah larangan ke atas buku bertajuk Gay Is OK! A Christian Perspective selepas mendapati tiada bukti dan asas fakta undang-undang terhadap justifikasi menteri yang menjadi asas dalam perintah larangan itu.
Pengharaman ke atas buku itu dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri pada 27 November 2020 mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dengan alasan kandungannya yang mungkin memudaratkan ketenteraman, moral dan kepentingan awam.
Pengarang dan penerbit buku itu kemudiannya mengambil langkah untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 17 Februari 2021, atas alasan perintah larangan berkenaan adalah tidak rasional kerana tiada kejadian tidak diingini tercetus berikutan penerbitan buku itu lapan tahun lalu.
Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata, Jakim sentiasa memantau kandungan animasi yang mempromosikan LGBT atau gay di negara ini.
“Kita sedar ada animasi yang promosi LGBT secara halus dan ia dalam pemantauan kita untuk dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia agar tindakan diambil,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!