[VIDEO] KPM beri pilihan sekolah rendah, menengah jalankan PdPR

Datuk Mohamad Alamin
Datuk Mohamad Alamin
A
A
A

KULAI - Kementerian Pendidikan (KPM) memberi pilihan kepada sekolah rendah dan menengah untuk menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya penularan kes Covid-19 pada tahap tinggi.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, kementerian kini memfokuskan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Memang kita sudah beri pilihan kepada sekolah rendah dan menengah, Tingkatan Satu hingga Empat tidak perlu ke sekolah.

"Yang lain, mereka boleh buat PdPR dan sekolah rendah juga boleh memohon untuk mengadakan PdPR jika ada risiko penularan Covid-19. Kita sentiasa fleksibel dan menilai risiko dari masa ke masa,” katanya selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Putra 2 di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pengoperasian sekolah dan tindakan KPM susulan peningkatan kes Covid-19.

Mohamad berkata, KPM telah menyediakan panduan prosedur operasi standard (SOP) kepada sekolah-sekolah untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku jangkitan penularan Covid-19.

"Garis panduan telah kita sediakan. Kementerian Kesihatan (KKM) atau Pejabat Kesihatan Daerah akan sentiasa bantu KPM dan sekiranya ada kes Covid-19 di sekolah, kita akan lapor dan mereka akan buat penilaian risiko.

"Kalau berlaku kes di asrama, KKM akan menilai sama ada perlu diteruskan atau tutup...Kalau sampai tahap (kes tinggi) kita akan tutup, jika belum kita ambil langkah meminimumkan risiko supaya tidak menular dengan lebih teruk. Keputusan yang kita ambil adalah berdasarkan kepada keselamatan murid dan guru di sekolah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamad berkata, KPM akan membuat keputusan berkenaan pelaksanaan ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), dalam masa terdekat

Katanya, kementerian masih meneliti dan berbincang perkara berkenaan sebelum membuat keputusan rasmi.

"Sama ada tangguh atau batal, kita masih dalam penilaian dan perbincangan. Kita akan selidik dan teliti pandangan yang diterima dan kita akan rumuskan. Saya percaya Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin akan keluarkan kenyataan dalam masa terdekat,” ujarnya.

Pada Rabu, media melaporkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa KPM untuk menangguhkan atau membatalkan pelaksanaan PT3 atas faktor keciciran dilalui pelajar Tingkatan Tiga.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang dilaporkan berkata, penangguhan itu penting kerana pelajar Tingkatan Tiga telah keciciran pelajaran apabila hanya belajar selama beberapa bulan pada 2020 dan 2021 susulan pandemik Covid-19. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!