Peniaga ditetak, disamun depan rumah
SUNGAI PETANI - Seorang peniaga mengalami kecederaan di kaki akibat ditetak dalam kejadian samun di hadapan rumahnya dekat Taman Seruling, di sini kira-kira jam 4 pagi Ahad lalu.
Dalam kejadian tersebut, mangsa berusia lingkungan 50-an sedang berjalan kaki dari premis kedai berdekatan yang jaraknya kira-kira 100 meter dari rumahnya.
Semasa tiba di hadapan rumah dan ingin membuka pintu pagar, dua suspek menaiki motosikal berhenti dan meluru ke arahnya.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek cuba melakukan samun dengan menetak kaki mangsa menggunakan sebilah parang sebelum melarikan telefon bimbit.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abd Rahman yang mengesahkan kejadian itu berkata, polis telah menahan dua suspek dalam dua serbuan berasingan pada Selasa.
Menurutnya, seorang suspek berusia 34 tahun ditahan dalam serbuan di Taman Ria Jaya pada jam 6.30 petang.
"Turut dirampas sebuah beg silang warna coklat, sekeping resit kedai emas, motosikal jenis Honda EX5 dan topi keledar warna hitam," katanya.
Beliau berkata, hasil maklumat diperoleh, polis berjaya menahan seorang lagi suspek berusia 18 tahun di Flat Paya Nahu, kira-kira sejam kemudian dan sebilah parang turut dirampas disyaki digunakan dalam kejadian itu.
"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan salah seorang daripadanya mengaku menetak mangsa," katanya.
Suspek direman selama tujuh hari bermula Rabu bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!