Lelaki curi kereta dipenjara 18 bulan

Mohd. Jerryzal (tengah) dikenakan hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.
Mohd. Jerryzal (tengah) dikenakan hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu kerana mencuri kereta bersama tunang serta anaknya.

Tertuduh Mohd. Jerryzal Mohd. Jefri, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazana Sinin.

Manakala tunangnya, Nurul Arzira Idris, 27, serta anak lelaki berusia 16 tahun membuat pengakuan tidak bersalah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didapati mencuri sebuah kereta jenis Proton Saga milik Nik Zahidi Zainal, 39.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 11 pagi di Pejabat Persatuan Anggota Kemas, Ayer Keroh pada 18 Januari lalu.

Bagaimanapun Mohd. Jerryzal yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dikenakan ke atas dirinya kerana baharu mendapat pekerjaan sebagai pencuci kereta selain perlu menanggung empat orang anak tunang yang masih kecil.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Bahiyah Amir Haidi memohon hukuman setimpal diberikan terhadap tertuduh mengambil kira tertuduh mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes sama.

Beliau turut mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 dikenakan terhadap tertuduh wanita dan remaja itu.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan terhadap tertuduh lelaki dan membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 terhadap tunangnya, manakala anak RM2,000.

Dalam prosiding berasingan, di Mahkamah Sesyen, ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan sebilah pisau terhadap seorang wanita warga emas, Tuan Pah Megat Yaman,69.

Tertuduh telah mengambil harta milik mangsa sebuah kereta jenis Proton Saga, barang kemas iaitu dua bentuk cincin dan masing-masing seutas gelang, rantai serta anting-anting bernilai kira-kira RM20,000 pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nariman Badruddin dan tertuduh lelaki dibenarkan diikat jamin sebanyak RM15,000 manakala tunang dan anaknya masing-masing RM7,000 dan RM3,000.

Mahkamah menetapkan 23 Mac depan sebagai sebutan semula kedua-dua kes tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!