Kru kapal tangki disyaki jatuh laut

Mangsa disyaki terjatuh dari kapal ketika dalam pelayaran dari Pasir Gudang, Johor menuju ke Croatia pada Selasa. Gambar kecil: Nerkrasov Sergey
Mangsa disyaki terjatuh dari kapal ketika dalam pelayaran dari Pasir Gudang, Johor menuju ke Croatia pada Selasa. Gambar kecil: Nerkrasov Sergey
A
A
A

KUANTAN - Seorang kru kapal tangki warga Rusia dilaporkan hilang disyaki terjatuh ke laut di kawasan perairan Tanjung Gelang pada Selasa.

Mangsa, Nerkrasov Sergey, 48, kali terakhir dilihat di atas kapal yang ketika itu berada pada kedudukan sekitar 4.2 batu nautika barat daya Pulau Aur, Mersing.

Kehilangan lelaki itu disedari kira-kira jam 10.30 malam semasa kapal berada di kedudukan sekitar 1.6 batu nautika Timur Tanjung Gelang.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, selepas menerima laporan kejadian, bot ronda Maritim yang sedang beroperasi di sekitar lokasi segera diatur gerak untuk melaksanakan Operasi Carilamat.

Menurutnya, kapal tangki yang berdaftar di Liberia itu dilaporkan belayar dari Pasir Gudang, Johor menuju ke Pula, Croatia.

"Maritim Malaysia Negeri Pahang telah menyalurkan maklumat kepada Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor dan aset udara Maritim Malaysia untuk bantuan mengesan mangsa.

"Maklumat berkenaan kejadian turut disalurkan kepada komuniti nelayan tempatan dan beberapa rakan agensi untuk bantuan dalam misi pencarian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kamal Ariffin memberitahu, pihaknya sentiasa bersiap-sedia memberikan perkhidmatan dan bantuan kecemasan kepada komuniti maritim serta agensi kerajaan yang mengalami kecemasan di laut atau bencana.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan dan kegiatan jenayah di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!