Perak tangguh semua program kerajaan
IPOH - [DIKEMAS KINI] Semua program melibatkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ditangguhkan susulan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.
Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat setelah menerima nasihat dan pandangan Majlis Keselamatan Negeri (MKN).
"Bagi program-program yang dilaksanakan oleh jabatan, agensi serta badan-badan lain, Pejabat Menteri Besar menasihatkan supaya merujuk kepada MKN.
"Ini bagi memastikan keselamatan rakyat ketika peningkatan jumlah kes Covid-19 yang berleluasa akhir-akhir ini," katanya di sini pada Rabu.
Menurutnya, program yang melibatkan penyampaian bantuan kecemasan, kes Covid-19 serta program-program vaksinasi dan penggalak bagaimanapun akan diteruskan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
"Saarani turut meminta supaya semua rakyat Perak khususnya mengamalkan SOP serta amalan-amalan kesihatan bagi membendung penularan kes Covid-19.
"Beliau juga meminta mereka yang belum mendapat suntikan vaksinasi ketiga (penggalak) supaya segera berbuat demikian," katanya.
Perak mencatat sebanyak 1,025 kes baharu setakat jam 12 tengah hari pada Selasa, menjadikan keseluruhan kes Covid-19 di negeri itu mencecah 142,225 kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!