Hadir ambil bantuan ikut waktu janji temu elak beratur panjang: MB

Seramai 2,497 orang mangsa banjir hadir pada Majlis Penyampaian Bantuan Selangor Bangkit (Banjir) Daerah Klang di Kompleks Sukan Pandamaran pada Selasa. - Foto Bernama
Seramai 2,497 orang mangsa banjir hadir pada Majlis Penyampaian Bantuan Selangor Bangkit (Banjir) Daerah Klang di Kompleks Sukan Pandamaran pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pemohon yang masih belum menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diminta menepati waktu janji temu yang ditetapkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) bagi mengelakkan kesesakan dan beratur panjang seperti yang berlaku di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kota Kemuning pada Selasa.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemohon perlu memastikan mereka hadir pada hari dan masa yang diberi.

"Insya-ALLAH dengan kerjasama dan persefahaman semua pihak, penyaluran BSB akan menjadi lebih lancar dan selesai mengikut tempoh masa ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Amirudin memberitahu, beliau mengambil maklum berhubung maklum balas orang ramai berikutan pemohon bantuan banjir terpaksa beratur panjang pada Selasa.

Beliau menjelaskan, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang memberi pilihan kepada pemohon sama ada menerima tunai atau secara pindahan dana elektronik (EFT) ke dalam akaun bank masing-masing.

"Namun majoriti pemohon memilih untuk datang mengambil tunai dan ini menyebabkan barisan panjang di tempat yang disediakan.

"Keadaan menjadi sukar dikawal berikutan majoriti penduduk memilih untuk hadir lebih awal berbanding masa yang ditetapkan melalui SMS yang mereka terima," ujarnya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, ratusan individu terpaksa berbaris panjang untuk mendapatkan wang bantuan bencana di Dewan MBSA Kota Kemuning pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Video pendek tular di media sosial Facebook itu mendapat pelbagai respons daripada pelayar yang kebanyakannya menyalahkan pihak pengurusan kerana tidak peka dengan keadaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!