Balu Allahyarham Harussani meninggal dunia
IPOH - Balu kepada bekas Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria, Puan Sri Ainon Abdul Ghani meninggal dunia pada Rabu.
Allahyarhamah berusia 82 tahun meninggal dunia kira-kira jam 2.30 petang setibanya di Kinta Medical Centre di sini untuk mendapatkan rawatan akibat demam.
Anaknya, Datuk Ahmad Wafi Harussani berkata, ibunya meninggal dunia sebelum sempat mendapatkan rawatan.
"Kesihatan ibu merosot sejak dua atau tiga bulan lalu namun, kakak saya memantau perkembangan dia setiap hari. Ibu tidak banyak bercakap dan agak lemah.
"Hari ini, saya dimaklumkan ibu tidak sihat dan demam. Kakak telefon ambulans untuk bawa ibu mendapatkan rawatan lanjut dan setibanya di hospital keadaan ibu sudah lemah dan menghembuskan nafas terakhir," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.
Menurutnya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat pada Khamis.
"Jenazah ibu akan disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Melayu, Sungai Rapat esok sebelum dikebumikan di tanah perkuburan sama dengan ayah dan abang," katanya.
Media sebelum itu melaporkan Allahyarhamah Ainon pernah mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) berikutan jangkitan Covid-19 bersama suaminya, Allahyarham Harussani.
Namun, beliau sudah beransur pulih dan dibenarkan keluar hospital pada 21 Mei lalu.
Harussani, 82, meninggal dunia pada 30 Mei diikuti anak sulung mereka, A Abdul Hakim Mazhar, 54, meninggal dunia akibat wabak itu pada Ogos 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!