Tun M dedah Zahid pernah minta bantuan lepaskan kes mahkamah
PUTRAJAYA - Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui pernah didatangi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ingin meminta bantuan untuk membebaskan dirinya daripada pendakwaan rasuah di mahkamah.
Dr Mahathir mendakwa, pertemuan itu berlaku ketika beliau dikatakan akan menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata, Ahmad Zahid mahu siasatan yang sedang dijalankan terhadapnya dihentikan.
"Ahmad Zahid datang ke rumah saya bersama dua tiga orang lagi dan dia cuba nak berbaik-baik dengan saya. Pada masa itu ada kemungkinan saya menjadi Perdana Menteri.
"Atas sebab itu dia ingin berbaik dengan saya, tetapi saya dah tahu masalah Zahid ada kemungkinan masuk dalam tahanan kerana jenayah yang dilakukan," katanya ketika sidang media di Putrajaya pada Rabu.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, selepas Ahmad Zahid bersama dengan parti yang membentuk kerajaan, beliau ada mendengar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mahu tindakan mahkamah terhadapnya dihapuskan.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan bila sebenarnya tarikh dan lokasi pertemuan berkenaan.
Semalam, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan tidak berhasrat membuat sumpah laknat berhubung dakwaan Ahmad Zahid Hamidi meminta bantuannya dalam kes mahkamah dihadapinya ketika ini.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, ia berikutan apa yang dikatakannya sebelum ini adalah benar dan beliau sendiri mempunyai bukti dan saksi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!