RUU Akta Sewaan Kediaman tidak dibentang secara tergesa-gesa
PUTRAJAYA- Rang undang-undang (RUU) Akta Sewaan Kediaman tidak akan dibawa secara tergesa-gesa untuk dibentangkan di Parlimen.
Tegas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ia selagi RUU berkenaan tidak melalui proses rundingan dan libat urus yang efektif.
"RUU ini pada falsafahnya bertujuan memberi keadilan kepada pemilik dan penyewa kediaman sepanjang tempoh sewaan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Menurutnya, terdapat beberapa komen berhubung RUU itu yang menjadi perhatian umum.
"Saya sedar malah juga berasa tidak senang, dan bersetuju dengan beberapa cadangan awal yang dikemukakan di dalam RUU ini," katanya
Beliau berkata, kepentingan dan keadilan semua pihak adalah kunci utama dalam penggubalan RUU ini.
"Saya meneliti pandangan pelbagai pihak terhadap RUU ini.
"Teruskan memberi pandangan dan kita sama-sama mahu RUU ini memberi refleksi keadilan dan menjaga kepentingan semua pihak," katanya.
RUU akta itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada sesi persidangan suku ketiga tahun 2022.
Kajian berhubung RUU berkenaan diadakan bermula Jun tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!