Dadah: AGC tolak representasi isteri ahli politik
KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan oleh isteri bekas Ketua Pemuda Bersatu Adam Asmuni bagi menggugurkan tiga pertuduhan mengedar dan menanam dadah jenis kanabis yang dihadapinya.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam memaklumkan perkara itu semasa kes Lyiana Roslee disebut di hadapan Majistret Farah Nasihah Anuar di Mahkamah Majistret Ampang di sini pada Rabu.
“Pihak pembelaan telah menghantar representasi dan ia ditolak, maka pertuduhan terhadap Lyiana masih kekal di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya yang turut memohon satu tarikh untuk menyediakan izin bagi memindahkan kes pasangan suami isteri itu ke Mahkamah Tinggi.
Peguam Nur Mustanir Md Nor, yang mewakili Lyiana dan turut menyebut bagi pihak peguam Adam yang tidask dapat hadir ke mahkamah, berkata beliau dimaklumkan bahawa laporan kimia sudah siap namun kes itu masih belum dipindahkan.
“Saya mohon tarikh sebutan terakhir hanya untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi memandangkan penyediaan izin di pihak pendakwaan tidak melibatkan proses yang rumit kerana laporan kimia telah siap,” katanya.
Mahkamah menetapkan 11 Mac untuk sebutan kes.
Lyiana, 35, dan Adam, 36, didakwa pada 16 Februari 2021 namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu melibatkan hukuman mati yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa mengedar 1.58 kilogram kanabis dan 7.87 liter cecair dadah jenis sama di sebuah rumah di Duta Residensi, Ampang pada 7.30 malam 20 Jan 2021.
Bagi kedua-dua kesalahan, ahli perniagaan serta suri rumah itu didakwa mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 15 kali, jika sabit kesalahan.
Mereka juga didakwa menanam sembilan pokok disyaki ganja di tempat, tarikh serta masa sama mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(A)(3) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!